28 Januari 2023, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Saifullizan Yahaya (Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera) telah memenangi Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke -7 (HSDR) bagi kategori Karya Perseorangan dalam Bentuk Buku, iaitu Kumpulan Cerpen Memberikan Telinga (Studio Anai-anai, 2020), juga kategori Karya Perseorangan – Eceran bagi esei kritikan sastera yang berjudul “Tradisi dan Pengalaman Kepengarangan Islam sebagai Teras Penulisan dan Pengucapan Penulis Mutakhir” (Dewan Sastera, Januari dan Februari 2021). Selain itu, buku dan majalah terbitan DBP (Dewan Sastera, Tunas Cipta, dan Dewan Budaya) berjaya membawa pulang anugerah dan pengiktirafan bagi kategori buku Kumpulan Puisi, Novel Kanak-kanak, Puisi Eceran, Cerpen Eceran, Esei Kritikan Sastera, Rencana Sastera dan Skrip Drama Pentas.

Sebelum ini dalam HSDR ke-5 pada tahun 2016, Karyawan DBP, Encik Saifullizan Yahaya telah memenangi kategori A bagi buku kumpulan puisi Aku Gagak [Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), 2014)] Manakala esei beliau, “Mencari Makna Cinta dalam Cinta Fansuri” telah memenangi HSDR ke-4, 2014 dan “Sastera Profetik: Kaffah dalam Revolusi yang Ditangguhkan” telah memenangi HSPM 2014 dan HSDR ke-5 2016.

Karyawan DBP, Encik Saifullizan Yahaya (Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera) telah memenangi dua kategori Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-7.

Beliau yang dilahirkan di Kampar, Perak mendapat pendidikan peringkat diploma dalam bidang Seni Sastera dan Kreatif (Institut Teknologi Seni Melaka), seterusnya Ijazah Linguistik Bahasa Melayu [Universiti Putra Malaysia (UPM)] dan Sarjana dalam bidang Sastera Melayu (UPM). Setakat ini, beliau telah menghasilkan tujuh (7) buah buku, iaitu empat (4) kumpulan cerpen bertajuk Lelaki Tua dan Sebuah Kerusi (DBP, 2008) Aku Anjing  (ITBM, 2018) Ifindo (Studio Anai-Anai, 2019), dan Memberikan Telinga (Studio Anai-anai, 2020) dan tiga (3) buah kumpulan puisi, iaitu Biar Puisi Menjadi Peluru (ITBM, 2012), Aku Gagak (ITBM, 2014) dan Rusuh Diksi (Stensilan, 2007). Ketika diwawancara oleh sidang editor Dewan Sastera, beliau berkata,

Hadiah ini merupakan suatu penganugerahan daripada kerajaan negeri Perak. Kerajaan negeri peka dan sensitif akan perkembangan sastera kebangsaan. Hal ini boleh dilihat dengan adanya anugerah seperti ini. Perkara ini boleh menjadi contoh kepada negeri lain dalam memartabatkan sastera kebangsaan lantas menggerakkan fungsi DBP dalam mengembangkan sastera di tanah air.

Selanjutnya beliau juga menyuarakan bahawa beliau akan terus menulis. Projek penulisannya sekarang ialah buku kumpulan cerpen yang uniknya akan menggunakan satu perkataan sahaja bagi setiap tajuk cerpen. Perkataan tersebut menjadi subjek dan diolah untuk dijadikan cerita.

Seterusnya, dua buah buku terbitan DBP yang menang dalam kategori Kumpulan Puisi ialah Masuk ke Dalam Awan nukilan Siti Zaleha Hashim dan kategori Novel Kanak-kanak, Maya Kesuma karya Salina Ibrahim.

Selain itu, karya yang pernah terbit dalam majalah Dewan Sastera turut memenangi  HSDR ke-7 ini. Karya tersebut ialah:

Kategori Karya Perseorangan – Puisi Eceran

  1. “Wanita yang Mendongak ke Langit” oleh Hasni Hassim
  2. “Menebak Ketidakpastian” oleh Hani Salwah Yaakup
  3. “Puncak Kecil” oleh Abdullah Mohd Samsuddin

Kategori Karya Perseorangan – Cerpen Eceran

  1. “Tanah Payungan Budi” oleh Mohd Hashim Osman
  2. “Simone” oleh Hafizah Iszahanid
  3. “Jendela Terbuka dengan Melodi” oleh Ariff Mohamad

Kategori Karya Perseorangan – Esei Kritikan Sastera

  1. “Teori Genre Sastera” oleh Abdul Rahman Napiah
  2. “Tradisi dan Pengalaman Kepengarangan Islam sebagai Teras Penulisan dan Pengucapan Penulis Mutakhir” oleh Saifullizan Yahaya

Kategori Karya Perseorangan – Rencana Sastera

  1. “Point Editions” dan Pengantarabangsaan Puisi Melayu” oleh Raja Rajeswari Seetha Raman
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.