28 Januari 2023, 11:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Empat kategori anugerah tokoh telah diumumkan ketika berlangsungnya Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-7 (HSDR-7). Kategori tersebut ialah Sasterawan Negeri, Karyawan Sepanjang Hayat, Ilmuwan Negeri dan Pejuang Sastera.

Anugerah Sasterawan Negeri dipilih berdasarkan sumbangan karya secara berterusan dan pencapaian mutu karya yang dihasilkan pada peringkat negeri, kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Oleh itu, daripada empat pencalonan, Baharuddin Buyung kahar telah diangkat sebagai penerima Anugerah Utama, Sasterawan Negeri.

Baharuddin Buyung kahar atau nama penanya Baharuddin Kahar mula dikenali sebagai cerpenis pada dekad 1970-an dan novelis pada dekad 1980-an. Kemuncak kepengarangan beliau terserlah apabila cerpennya bertajuk “Capa Rengat” mendapat pengiktirafan melalui hadiah sastera Malaysia pada tahun 1976/1977.  Ketika diwawancara oleh sidang editor Dewan Sastera, Baharuddin Kahar menzahirkan kegembiraannya apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri.

Baharuddin Kahar Sasterawan Negeri Perak.

Saya berasa terharu dan gembira apabila diiktiraf oleh kerajaan negeri setelah lama berkecimpung dalam ranah sastera ini, iaitu bermula sejak tahun 1971 lagi.

Pada ketika ini, Baharuddin Kahar sedang menghasilkan buku berkenaan dengan proses kreatif, iaitu cara karya dihasilkan, kaedah mengembangkan plot karya dan sebagainya. Manakala untuk novel, beliau sedang menggarap jalan cerita mengenai ideologi komunis yang menjalar dalam budaya kita.

Bagi kategori Ilmuwan Negeri, Profesor Emeritus Dr. Mohamad Bohari Ahmad atau nama penanya Bukhari Lubis telah dipilih sebagai penerima anugerah tersebut. Kriteria pemilihan untuk anugerah ini berdasarkan sumbangan karya ilmiah dalam bidang kesusasteraan, impak ujaran, bahasan, gagasan pemikiran calon. Oleh itu, ketokohan Bukhari Lubis sememangnya diiktiraf apabila dilantik sebagai Profesor Madya, Profesor dan seterusnya pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganugerahi beliau Profesor Emeritus, iaitu pencapaian tertinggi dalam dunia akademik yang turut melayakkan beliau dipilih sebagai penerima anugerah tersebut.

Bukhari Lubis sedang menyiapkan projeknya yang terbaharu, iaitu buku yang menghimpunkan karya kreatif serta ilmiah sebanyak 156 esei dan 43 puisi bersempena dengan umurnya yang akan menginjak ke 70 tahun.

Bukhari Lubis merakam gambar kenangan setelah dipilih sebagai penerima Anugerah Ilmuwan Negeri

Alhamdulilah, saya bersyukur kerana dihargai, apatah lagi saya sememangnya anak jati negeri, berkhidmat di sini  sepenuh jiwa raga demi kelangsungan sastera tanah air.

Manakala bagi Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat, juri telah memilih Dr. Abdul Rahman Napiah atau Mana Sikana sebagai penerimanya. Anugerah ini mempertimbangkan sumbangan tokoh meliputi iltizam penulis sepanjang hayat pengkaryaannya dan keterampilan kepengarangan serta impak sumbangannya kepada bidang sastera. Oleh itu, Mana Sikana merupakan seorang pengarang atau karyawan yang prolifik sejak tahun 1960-an hingga sekarang kerana masih dipilih sebagai penerimanya. Hayat kepengarangan yang ditelusurinya sepanjang lebih lima dekad mengabsahkan bahawa beliau sememangnya layak untuk menerima anugerah tersebut.

Mana Sikana.

Ketika ditemui, beliau memberikan pandangan bahawa karya mesti terus ditulis dan selepas itu dibahaskan. Hal ini demikian kerana perkara itu akan meninggalkan impak yang bermakna dalam kelangsungan hayat kesusasteraan tanah air.

Dalam majlis yang berlangsung pada malam tadi, Anugerah Pejuang Sastera telah diberikan kepada Hazril Hafiz Mohd Hassan. Beliau yang lebih dikenali dengan nama Hafiz Hamzah dilihat sebagai calon yang signifikan dalam mencetuskan gerakan sastera tanah air melalui usahanya menerbitkan jurnal seni budaya yang diterbitkan secara konsisten melalui daya usaha beliau bersama-sama rakan yang mempunyai minat yang sama. Dalam melakukan kerja penulisan dan penerbitan secara mandiri pada era ini, sememangnya Hafiz Hamzah layak dipilih sebagai penerima anugerah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.