Oleh Suyuthi Yusuf
25 September 2022, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – “Penulis bukan sahaja hanya bernostalgia dengan alam, tetapi perlu terlibat sama dalam melontarkan kritikan terhadap penguasa”, ujar Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA ketika sesi forum Dialog Utara ke-16. Selain beliau, forum tersebut juga melibatkan ahli panel yang lain iaitu DR. Milhan, MA (Sekretaris PB MABMI dan Dosen UIN Sumut), Dr. Phaosan Jehwae (Universiti Pattani), dan Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP).  Prof. Dr. Hashim Ismail bertindak sebagai moderator bagi sesi forum tersebut.

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memberi fokus terhadap sungai yang mempunyai kaitan rapat dengan penyair. Beliau menyatakan bahawa sungai sebagai salah satu daripada sistem ekologi menjadi bahan renungan dan tafsiran kepada kebanyakan penyair. Ujarnya,

Penyair menggunakan sungai terhadap kenangan dan memori masa lalunya dan menenggelamkan dirinya dalam keadaan romantis. Kita boleh lihat unsur rohani dan kedalaman perasaan seseorang. Namun, peranan besar penyair harus memberi kritikan terhadap penguasa berkenaan kerosakan alam.

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa sastera perlu prihatin dan memikul tanggungjawab untuk melestarikan alam semula jadi daripada dirosakkan oleh tangan kapitalis yang rakus. Penulis mesti bersikap lebih fungsional dan memberi sumbangan serta melihat peranan alam sekitar sebagai sumber kenyataan asas perjuangan.

Sementara itu, DR. Milhan pula melihat peranan masyarakat dalam alam Melayu ini dalam bersama-sama memberikan keprihatinan terhadap kelompok masyarakat yang duduk di pesisir laut/tepi pantai. Dengan kerosakan dan kemusnahan hutan bakau, maka kelompok masyarakat tersebut sulit untuk mendapatkan pendapatan ekonomi yang lebih selesa bagi kehidupan mereka. Katanya,

Manfaat ekonomi rakyat pesisir pantai menjadi lebih sulit kerana hancurnya habitat dan tempat tinggal mereka.

DR. Milhan, MA.

Selain itu, beliau juga menyentuh tentang konsep pembangunan di tepi pantai. Konsep pembangunan seperti ini akan lebih memburukkan keadaan kerana akan wujudnya perluasan kuasa industri. Penggunaan mesin moden yang digunakan oleh industri yang berkaitan dengan penangkapan ikan akan menjejaskan pendapatan dan rezeki para nelayan.

Beliau menyarankan bahawa harus ada sikap optimis dalam kalangan masyarakat Nusantara dalam memelihara kawasa pesisir laut. Jelasnya, perlu ada sikap taqwa, amanah, jujur, dan mandiri dalam menjaga bersama-sama hutan bakau tersebut.

Dr. Phaosan Jehwae pula melihat keadaan dan persekitaran alam sekitar yang wujud di wilayah Selatan Thailand. Menurutnya, banyak tanah-tanah di wilayah tersebut yang sekarang dijual kepada orang luar. Keadaan tersebut menyebabkan kerugian yang besar kepada sistem ekonomi dan pendapatan masyarakat Melayu Selatan Thailand.

Dr. Phaosan Jehwae.

Berkenaan hal sastera dan bahasa, beliau melihat bahawa masyarakat di sana sudah mulai berminat dalam melibatkan diri dalam kegiataan kebudayaan seperti bacaan dan deklamasi puisi. Namun, baginya, mereka lebih perlu diberi kefahaman yang jelas tentang genre sastera kerana misalnya masih ada lagi yang tidak mengenal perbezaan antara pantun dan syair.

Selanjutnya, beliau juga menjelaskan bahawa guru/intelektual agama di sana memainkan peranan penting dalam menyatakan kepentingan melestarikan alam. Ujarnya,

Kitab agama/kuning lebih banyak berbicara tentang perlunya melestarikan dan memanfaatkan bidang pertanian dengan sewajarnya. Guru agama dan ulama di sana sering memberikan penekanan terhadap hal tersebut.

Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi.

Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi pula dalam pembentangannya menyentuh tentang para penyair yang sering menggunakan alam sebagai sumber dalam berkarya. Baginya, terdapat kaitan yang erat antara penyair dengan alam sejak dahulu lagi. Beliau memberi contoh penciptaan pantun dan puisi yang penuh dengan unsur alam. Hal ini secara tidak langsung penyair/penulis memberikan ideanya tentang kelestarian dan keseimbangan alam yang perlu sentiasa dijaga.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.