28 Januari 2023, 02:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Baharuddin Buyung Kahar atau lebih dikenali dengan nama penanya, iaitu Baharuddin Kahar telah diangkat sebagai Sasterawan Negeri Perak dalam majlis Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-7 Tahun 2002 (HSDR-7). Majlis yang penuh gilang-gemilang tersebut telah diadakan di Galasa Caldwell, Ipoh pada malam tadi. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, YB Khairudin Abu Hanipah; Datuk Bandar Ipoh, YBhg. Datuk Rumaizi Baharin; dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan.

Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-7 (HSDR) yang disediakan oleh kerajaan negeri Perak tersebut merupakan suatu pengiktirafan kepada tokoh-tokoh serta para penggiat sastera. HSDR ini juga merupakan bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memartabatkan karya-karya bermutu tinggi yang dihasilkan oleh para penulis yang berasal dari negeri Perak atau yang telah bermastautin di negeri ini sekurang-kurangnya lima tahun semasa karyanya terpilih.

YB Encik Khairudin Abu Hanifah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak yang mewakili YAB Menteri Besar Perak dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa penganjuran hadiah sastera ini merupakan suatu inisiatif kerajaan negeri Perak dalam menghargai sumbangan serta peranan penulis yang meneruskan tradisi penulisan budaya tinggi bertonggakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara yang tidak luput ditelan zaman. Ujarnya lagi,

Kesusasteraan sememangnya amat penting dalam menjadi wadah menyampaikan idea-idea dan pandangan masyarakat, catatan sejarah dan proses pengembangan ilmu. Sastera yang berbudaya tinggi memainkan peranan untuk melahirkan insan kamil dan seterusnya menjadi teras dalam pembentukan sesebuah negara bangsa.

YB Encik Khairudin Abu Hanifah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak yang mewakili YAB Menteri Besar Perak sedang menyampaikan ucapan perasmian.
Paluan gong sebanyak tiga kali sebagai simbolik perasmian.

YB Datuk Mohamad Kamil Shafie selaku Pengerusi Tourism Perak pula dalam ucapan alu-aluan menyatakan bahawa pengiktirafan melalui penganugerahan seumpama ini akan mendorong semangat dan minat para penulis Perak terutamanya generasi muda untuk berkarya dengan menghasilkan karya sastera yang dapat dibanggakan. Terangnya lagi,

Tanggungjawab memperkasakan kesusasteraan memerlukan dukungan dan sokongan daripada pelbagai pihak, bukannya hanya terletak pada bahu golongan para sasterawan semata-mata, tetapi juga daripada golongan masyarakat dan pembaca.

YB Datuk Mohamad Kamil Shafie selaku Pengerusi Tourism Perak sedang menyampaikan ucapan alu-aluan.
Dr. Mohd Hanafi Ibrahim selaku Ketua Panel Penilai HSDR-7 sedang menyampaikan ulasan.

Anugerah Sasterawan Negeri Perak merupakan satu daripada empat kategori Anugerah Utama dalam HSDR-7. Selain kategori tersebut, kategori lainnya ialah Ilmuwan Negeri (Profesor Emeritus Dr. Mohamad Bohari Ahmad), Karyawan Sepanjang Hayat (Dr. Abdul Rahman Napiah) dan Pejuang Sastera (Hazril Hafiz Mohd. Hassan).

Baharuddin Buyung Kahar (dua dari kiri) atau lebih dikenali dengan nama penanya Baharuddin Kahar diberi pengiktirafan sebagai Sasterawan Negeri Perak. Beliau menerima wang tunai sebanyak RM30 000, piala iringan dan watikah penghormatan.
Profesor Emeritus Dr. Mohamad Bohari Ahmad memenangi kategori Ilmuwan Negeri. Beliau menerima wang tunai sebanyak RM20 000, piala iringan dan watikah penghormatan.
Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) dipilih sebagai Karyawan Sepanjang Hayat. Beliau menerima wang tunai sebanyak RM20 000, piala iringan dan watikah penghormatan.
Hazril Hafiz Mohd. Hassan atau lebih dikenali sebagai Hafiz Hamzah terpilih sebagai penerima anugerah Pejuang Sastera. Beliau menerima wang tunai sebanyak RM15 000, piala iringan dan watikah penghormatan.

Selain Anugerah Utama, HSDR juga memberikan pengiktirafan dan hadiah kepada pemenang bagi kategori buku Kumpulan Puisi, Kumpulan Cerpen, Novel Dewasa, Novel Remaja, Novel Kanak-Kanak, Puisi Eceran, Cerpen Eceran, Esei Kritikan Sastera, Rencana Sastera, Skrip Drama Pentas dan Skrip Drama TV.

Buku Kumpulan Puisi Masuk ke Dalam Awan nukilan Siti Zaleha Hashim terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka memenangi kategori buku kumpulan puisi, manakala kategori buku kumpulan cerpen pula dimenangi oleh Saifullizan Yahaya menerusi karyanya Memberikan Telinga. Anugerah kategori novel dewasa pula menjadi milik Hafizah Iszahanid menerusi novelnya, Kuala Lumpur di Sebalik Bulan. Salina Ibrahim memenangi dua kategori, iaitu kategori novel remaja melalui novelnya Pekan Berembang dan kategori novel kanak-kanak menerusi novelnya Maya Kesuma (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka).

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan menyampaikan anugerah kepada pemenang kategori Karya Perseorangan Eceren (Cerpen), Mohd Hashim Osman.
YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan menyampaikan anugerah kategori Karya Perseorangan Eceren (Puisi) kepada Dr. Hani Salwah Yaakup.
YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan menyampaikan anugerah kategori Skrip Drama TV kepada Ramlah Abdul Rashid.
Siti Zaleha Hashim memenangi kategori buku kumpulan puisi.
Saifullizan Yahaya memenangi kategori buku kumpulan cerpen.
Hafizah Iszahanid memenangi kategori novel dewasa.
Salina Ibrahim memenangi kategori novel remaja dan kanak-kanak.

Selain itu, majlis tersebut juga dimeriahkan dengan deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari, persembahan tarian pembukaan oleh JKKN Negeri Perak dan persembahan daripada Kumpulan Gambus Padang Changkat.

SN Dato’ Rahman Shaari sedang mendeklamasikan puisi.
Persembahan tarian kebudayaan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.