Oleh Suyuthi Yusuf
24 September 2022, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dan Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan Dialog Utara ke-16, 2022 yang bermula pada 23 hingga 25 September. Program ini diadakan bagi meningkatkan kesinambungan hubungan melalui maklumat, bahasa, sastera dan budaya serumpun serta memupuk dan memelihara persefahaman antara para penulis, sasterawan dan budayawan di wilayah Utara Malaysia, Selatan Thailand, Sumatera Utara dan Acheh, Indonesia dalam bidang bahasa, sastera dan budaya.

Tan Sri Prof. Dato’ Dr. Nordin Kardi yang merupakan Naib Canselor (Pengerusi Senat) Universiti Sultan Azlan Shah telah diundang khas untuk menyampaikan ucap utama sempena program tersebut pada pagi tadi. Dalam ucapannya tersebut, beliau menyatakan definisi dan dikotomi berkaitan dengan kelestarian. Ujarnya,

Banyak definisi yang berkaitan dengan konsep kelestarian. Kelestarian ekonomi dan kelestarian alam juga tergolong dalam definisi tersebut. Namun, ada semacam pertentangan antara kelestarian alam dengan kelestarian ekonomi yang melibatkan perniagaan dan keuntungan.

Tan Sri Prof. Dato’ Dr. Nordin Kardi yang merupakan Naib Canselor (Pengerusi Senat) Universiti Sultan Azlan Shah sedang menyampaikan ucapan ucap tamanya sempena Dialog Utara ke-16.

Seterusnya, beliau juga menyebutkan dikotomi antara planet (alam), manusia, dan ekonomi. Namun, dikotomi yang dinyatakannya tersebut bersifat dinamik dan seharusya saling berinteraksi. Beliau juga menjelaskan bahawa manusia harus selalu berdamai dengan alam dan tidak melakukan kerosakan. Ujarnya,

Sekarang manusia berperang dan menguasai alam. Alam pula tidak akan berdiam diri dan berasa kalah.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa alam ini hanyalah pinjaman sahaja daripada generasi akan datang. Dunia atau muka bumi ini bukan hanya milik generasi sekarang semata-mata, tetapi juga milik generasi akan datang. Oleh itu, ekonomi yang bersifat keuntungan dengan mengeksploitasikan alam semaksimum mungkin harus dikawal. Jika hal ini berterusan, kehendak dan keperluan generasi akan datang dinafikan.

Sekarang, wujud suatu sistem yang bersifat ‘hyper capitalism’. Visi mereka ialah keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan tentang keadaan alam ini.

Selanjutnya, beliau juga menyentuh tentang hubungan bahasa dan sastera berkaitan dengan kelestarian. Baginya, terdapat tiga tiang kelestarian, iaitu manusia, alam dan keuntungan. Ketiga-tiganya saling berinteraksi. Dalam konteks hubungan tersebut, bahasa dan sastera memainkan peranan yang penting dalam mengimbangi ketiga-tiganya.

Bahasa ialah tiang utama budaya. Bahasa menggerakkan fikiran dan tindakan manusia serta boleh menjelaskan tentang idea-idea yang abstrak dari seseorang manusia ke manusia yang lain. Kehendak manusia tidak terbatas, dan hal itu boleh disukat melalui bahasa.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa bahasa menyatukan antara manusia dan membentuk identiti. Contohnya, bahasa membantu dalam menyatukan konsep lestari pelancong dengan konsep lestari bagi petani. Cara melihat kelestarian alam berbeza antara manusia. Oleh itu, bahasa berperanan penting dalam menyatukan segala perbezaan ini.

Beliau juga menyatakan cabaran tertentu dalam memberi makna yang khusus terhadap konsep kelestarian.

Adakah terjemahan lestari daripada bahasa Ingggeris iaitu ‘sustainable’ merupakan terjemahan yang tepat? Apakah epistemologi lestari? Adakah lestari terbit dari pengalaman dan idea abstrak sendiri? Harus ada lestari dalam makna dan budaya kita sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.