Oleh Orked Una
21 Julai 2021, 11:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2020 membawa kejutan apabila para juri bersepakat untuk tidak memilih pemenang utama bagi semua kategori, iaitu sajak, cerpen dan esei. Faizal Tehrani selaku Ketua Juri HSS, berkongsi ulasan pemilihan karya pertandingan dan berasa kesal kerana mutu perkembangan karya dari tahun ke tahun merosot pada tahun ini. Ujarnya, “Keremajaan karya menenggelamkan kedewasaan, seakan-akan penyertaan penulis mengarang pada peringkat sekolah.”

Dato’ Seri Amirudin Shari

Anugerah sastera yang ditunggu-tunggu oleh penulis tanah air, Majlis Anugerah Hadiah Sastera Selangor telah disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor pada 20 Julai jam 9.00 malam. Hadiah sastera ini merupakan satu-satunya pertandingan sastera peringkat negeri yang membuka penyertaan karya dari seluruh negara.

Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari mengharapkan Hadiah Sastera Selangor (HSS) yang terbit daripada ideanya enam tahun lalu dapat diteruskan dan menjadi wadah dalam meningkatkan mutu penulisan para penulis dari tahun ke tahun. Tambahnya, HSS akan menjalinkan kerjasama strategik dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk tahun hadapan. Beliau juga berharap agar perancangan mengadakan “kursus kepakaran” (masterclass) penulisan dapat dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti karya penulis.

Majlis anugerah kali ini meraikan 11 orang pemenang hadiah penghargaan. Para pemenang termasuk Farahin Wahid, Md. Fariq Khir, Jaya Ramba, Ghazali Saiful, Jaymani Sevanathan, Daniyal Kadir, Nazreen Coklat, Jed Stellarose, Jack Malik, dan Siti Alimah. Jack Stellarose pernah memenangi hadiah utama kategori sajak HSS pada tahun 2018, manakala Nazreen Coklat menerima hadiah penghargaan berturut-turut dalam kategori esei HSS dari tahun 2018.

Para penulis merakamkan ucapan penghargaan kepada HSS dan Kerajaan Negeri Selangor yang menyediakan platform membolehkan bakat penulis dikembangkan sekali gus menonjolkan gagasan kreatif mereka.

Tonton Hadiah Sastera Selangor 2020 di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!