Oleh Karmila Azmi
19 Julai 2021, 13:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Benarkah hanya pengarang yang melalui zaman sengsara dan derita mampu menghasilkan naskhah yang baik? Misalnya, dua buah karya besar Sasterawan Negara A. Samad Said, Salina, merakamkan kehidupan di Singapura pada masa perang, manakala Hujan Pagi pula merakamkan kecelaruan perjuangan media.

Atau sebenarnya, sastera itu perakam setiap pelosok cabaran hidup, tidak mengira musim derita atau bahagia?

Bagi sekumpulan panel dalam wacana sempena Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2020, Cerita Zaman Derita: Sastera Perakam Cabaran Hidup anjuran Media Selangor di Twitter Space, 18 Julai 2021 (Ahad) jam 9.00 malam menyifatkan istilah musim derita itu terlalu peribadi dan tidak semestinya dirasai oleh semua umat manusia sebagai syarat utama untuk melahirkan karya yang baik. Sebaliknya, derita itu mungkin bersifat peribadi pengarang itu sendiri.

Wacana yang dikendalikan oleh Khairulnizam Bakeri menemukan Ketua Juri HSS 2020, Dr. Mohd Faizal Musa; Juri HSS 2019, Wan Nor Azriq; pemenang HSS 2017, Iman Daniel; dan Pegawai Dasar Menteri Besar Selangor, Ammar Gazali.

Bagi Mohd Faizal, antara pengarang yang diminatinya ialah Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako yang merakamkan pengalaman dan sudut pandangnya ketika dalam tahanan ISA di Batu Gajah menerusi sebuah novel yang diterbitkan pada tahun 1966.

Tegasnya, naskhah itu, Yang Miskin dan Yang Mewah tidak banyak diperkatakan dan hal ini membuktikan adakala sejarah tidak semestinya tentang perkara besar tetapi boleh juga menjadi satu hal yang besar kepada pengarang berkenaan.

Mohd Faizal berkata, ketika ini sewaktu dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19, pembaca belum menemukan karya yang merakamkannya tetapi hal itu bukanlah membawa tanda yang tidak baik, sebaliknya penghasilan karya berkaitan juga memerlukan masa.

“Saya fikir, hanya sesudah kita mengharungi wabak ini, barulah karya berkaitan akan lahir dan akan meninjau pelbagai sudut. Saya rasa perkara ini penting dan saya juga tidak fikir ia akan lahir di Barat, sebaliknya mungkin akan lahir dari rantau sebelah sini, Asia Tenggara,” katanya.

Wan Nor Azriq melahirkan pandangan senada apabila menyebut, sesebuah karya itu boleh saja tampil dari pelbagai sudut dan juga tidak mungkin membabitkan secara keseluruhannya peribadi pengarang.

“Sejarah memberi kesan kepada semua orang. Musim Covid ini mungkin ada karya yang muncul. Kita kerap menemukan puisi tetapi novel mungkin belum ada dan hal ini tidaklah perlu lahir sekarang.

“Ia mungkin akan ambil masa kerana kita masih mahu tahu apakah penghujungnya atau lebih memahami hal itu, terpulanglah pada pengarang,” katanya.

Sementara itu, Ammar berkata, HSS ialah idea daripada Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ini sewaktu menjawat jawatan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.

“HSS dimulakan sejak enam tahun lalu dan berkembang. Tetapi berbanding anugerah sastera peringkat negeri yang lain, kami terbuka menerima karya dari negeri lain. Kami dalam perancangan untuk menilai karya yang terbit di media lain juga untuk HSS seterusnya, selain mungkin menambah genre pengiktirafan. Justeru, kami berharap kualiti karya juga akan ditingkatkan,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.