Diterbitkan pada 12 Februari 2026, 07:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Puisi sering menjadi pintu masuk paling awal bagi seseorang yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan kreatif, namun ruang yang kelihatan “mudah” itu sebenarnya menuntut disiplin bahasa dan kesedaran estetik yang tinggi.

Demikian ditegaskan oleh penyair, Zaen Kasturi, ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Puisi: Kepada Penulis Pemula” dalam Kolokium Sastera: Kajian Genre Puisi yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam.

Menurut beliau, kebanyakan penulis pemula tidak merancang untuk menulis puisi secara serius. Sebaliknya, puisi hadir secara spontan yang sering hadir pada saat emosi terasa terlalu berat untuk disimpan.

Dalam keadaan sedemikian, puisi dilihat sebagai ruang paling mudah dimasuki kerana tidak menuntut ayat lengkap atau jalan cerita yang teratur.

“Puisi kelihatan mesra, tidak seketat esei dan tidak memerlukan plot seperti cerpen. Puisi memberikan ilusi kebebasan,” katanya.

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa kebebasan itu sering disalahfahami. Puisi mungkin tidak bermula dengan peraturan yang jelas, tetapi bukanlah ruang tanpa disiplin.

Menurut beliau, masalah timbul apabila penulisan berhenti pada tahap luahan perasaan semata-mata, tanpa usaha untuk membentuk bahasa secara teliti.

“Tidak salah menulis daripada rasa kerana semua penulis bermula di situ, tetapi puisi tidak boleh berhenti hanya setakat rasa sahaja,” ujarnya.

Zaen menjelaskan bahawa kejujuran sering dianggap sebagai syarat utama dalam penulisan puisi, namun kejujuran tanpa ketelitian bahasa hanya menghasilkan pendedahan bersifat peribadi, bukan karya yang mempunyai nilai sastera.

Puisi, tegasnya, bukan tentang menyatakan segala-galanya, tetapi tentang memilih apa yang perlu ditinggalkan.

Beliau turut menyentuh kekecewaan yang sering dialami oleh penulis muda apabila karya mereka dikritik sebagai lemah atau terlalu literal.

Dalam keadaan itu, timbul tanggapan bahawa puisi mereka “tidak difahami”, sedangkan mungkin karya tersebut belum memberikan ruang kepada pembaca untuk mengalami sesuatu di luar niat penulis.

“Puisi tidak bergerak seperti mesej yang jelas daripada pengirim kepada penerima. Hal ini disebabkan puisi hidup dalam ketegangan antara bunyi dengan makna, antara baris yang tamat dengan baris yang tergantung,” katanya lagi.

Menurut beliau, keinginan untuk difahami sepenuhnya sering menjadikan puisi terlalu terang dan menjelaskan segalanya, sehingga tidak meninggalkan ruang tafsiran kepada pembaca.

Puisi yang baik, katanya, bukan memberikan jawapan, tetapi mencetuskan pertanyaan.

Zaen juga menolak tanggapan awal bahawa puisi mesti “indah” dalam erti kata bahasa yang lembut dan metafora yang lazim.

Kata-kata seperti bulan, laut, hujan, luka dan rindu, walaupun tidak salah, boleh menjadi klise jika digunakan tanpa pemerhatian yang segar.

“Puisi menjadi kuat bukan kerana kata-kata besar dan rumit, tetapi kerana ketepatan rangkaian katanya.

“Satu imej kecil yang spesifik lebih berkesan daripada metafora yang cuba kelihatan mendalam,” jelasnya.

Beliau seterusnya menekankan kepentingan estetika, yang menurutnya bukan sekadar soal cantik atau kemasan, tetapi cara bahasa diatur untuk menghasilkan pengalaman kepada pembaca.

Persoalan seperti di mana baris dipatahkan, mengapa jeda diletakkan, dan mengapa sesuatu imej dipilih, merupakan sebahagian daripada kerja estetik yang tidak boleh diabaikan.

Dalam konteks proses berkarya, Zaen menegaskan bahawa menulis puisi lebih dekat dengan kerja menyunting berbanding sesi meluahkan buah fikiran. Draf pertama mungkin jujur, tetapi jarang tepat.

Kerja sebenar berlaku apabila penulis kembali dengan jarak emosi dan berani memadam baris yang terasa penting secara peribadi, tetapi tidak berfungsi dari segi estetik.

“Kejujuran bukan lesen untuk kelemahan bahasa. Dalam puisi, kejujuran mesti melalui bentuk,” katanya.

Beliau turut menyentuh cabaran era media sosial yang memberikan ruang luas kepada puisi, namun pada masa sama membentuk jangkaan terhadap karya yang cepat difahami dan mudah dikongsi.

Keadaan ini, menurutnya, boleh mendorong penulis menulis untuk kesan segera, bukan untuk ketahanan bahasa.

“Puisi yang baik jarang dapat diselesaikan dalam satu draf kerana pembikinannya memerlukan masa dan kesabaran. Ada puisi yang perlu disimpan berbulan-bulan, malah ada yang akhirnya perlu dibuang,” ujarnya.

Mengakhiri pembentangan, Zaen menggalakkan penulis muda agar tidak takut membaca karya penyair lain.

Kebimbangan tentang kehilangan suara sendiri, katanya, tidak berasas kerana suara tidak lahir daripada kekosongan, tetapi daripada pertembungan dengan tradisi, pengaruh, penolakan, dan peniruan.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi