Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Antologi puisi Pejuang Hartanah berjudul Mengukir Nama di Atas Peta (MNAP) terbitan Pejuang Media Sdn. Bhd. pada tahun 2023 mendapat pengiktirafan Rekod Buku Malaysia (The Malaysia Book of Records) sebagai buku puisi pertama bertemakan hartanah.
Bersempena dengan kejayaan itu, Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) yang turut bekerjasama dalam penerbitan MNAP, menganjurkan Randau Buku: Antologi Puisi Mengukir Nama di Atas Peta di Pentas BB, Cheras pada 7 Februari lalu.
Majlis anjuran bersama Pejuang Hartanah itu menampilkan YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2010, YBhg. Zaen Kasturi dan pengkaji sastera tanah air, YBrs. Dr. Mohamad Shahidan sebagai ahli panel.
Dato’ Rahman menggunakan teori anjakan makna ketika membicarakan sajak-sajak dalam MNAP.
Antara sajak yang dipilih oleh beliau ialah “Atap-Atap” karya Barupawati Utamaju Baharum. Katanya, penyair sebagai anak bangsa telah meletakkan masalah di ruangan seni.
“Sebagai contoh, keris hanya barang seni dan bukan alat untuk perjuangan. Pada hakikatnya, keris menjadi nilai kebanggaan pada tradisi yang akan hilang jika tidak digunakan sebagaimana pahlawan silam. Tidak bererti kalau tiada semangat melawan dalam hidup,” ujar Rahman.
“Seni dan semangat melawan sama-sama penting apabila dikaitkan dengan teori anjakan makna,” tambah beliau.
Sementara itu, “Tanah Segenggam Ayah” karya Hashim Yaacob, ujar Rahman, membuktikan bahawa sajak adalah untuk semua orang.
“Dalam sajak ini, Dato’ Hashim membawa kisah suruhan ayah kepada anaknya agar membawa tradisi walau ke mana sahaja.
“Meskipun si anak mungkin tidak mematuhi suruhan itu, tetapi yang lebih penting ialah menjaga hartanah yang dimiliki,” ujar beliau.
Rahman menjelaskan sajak Hashim tersebut ada unsur tahayul, tetapi perlu dianjakkan menjadi menjaga soal hak milik. Masyarakat, tambah beliau, rugi kerana tahayul, tetapi dengan anjakan makna, Hashim cuba mencari jalan mempositifkannya.
“Manakala sajak “Di Atas Sebidang Tanah Pusaka” karya Zaen Kasturi turut berpesan, jika sudah maju, jangan sombong diri. Yang penting, perlu tahu kekayaan dalam jiwa masing-masing.
“Usah meraih kejayaan yang kosong. Zaen berpesan bahawa melupakan rumah bonda ialah perangai yang buruk,” ujar Rahman.

Sementara itu, Zaen Kasturi melihat walaupun MNAP mempunyai dua segmen, tetapi penyair dan pejuang hartanah bergerak dalam satu jalur pemikiran, yang disampaikan sebagai psikologi hasrat yang besar, tinggi dan saujana mata memandang.
“Menurut penafsiran al-Ghazali, hasrat ialah bola api yang dinyalakan oleh Allah SWT ke dalam hati umat-Nya. Ada empat dasar atau ciri hasrat, iaitu dalaman yang tidak dipaksa-paksa oleh sesiapa; mendorong tindakan, positif atau negatif, dan berubah mengikut keadaan,” jelas beliau.
Tambah Zaen, hala tuju sajak-sajak dalam MNAP membawa hasrat positif yang memberikan peringatan bahawa amat perlu berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak.
Beliau mengambil contoh sajak “Rumah Kami yang Indah” (Mohamad Saleeh Rahamad) yang menegaskan maju bukan bermakna hilang jati diri.
Sajak “Menyelak Jendela Silam” (Razali Mohd. Yussof) pula, tambah Zaen, berpesan yang kita boleh hidup maju dan selesa, tetapi tidak memusnahkan yang tradisi.
“Sajak ‘Rumah Kebun Watan Kita’ karya Usman Gumanti Ibrahim memaparkan persoalan tanah di kampung yang mencetuskan pergaduhan dan perlu diatasi. Sajak ‘Berjual Beli dalam Islam’ oleh Dil Froz Jan Sayed Halem Shah menyebut tidak salah menjadi kaya,” ujarnya.
Dalam sajak-sajak karya pejuang hartanah pula, Zaen melihat ada yang menganggap bahawa mempertahankan hartanah sebagai bebanan. Namun begitu, sajak oleh Ahyat Ishak, “Perjuangan Ini Anugerah” mengambilnya sebagai peluang untuk menabur jasa.
“Hasrat untuk dunia yang lebih baik pula dipaparkan dalam sajak ‘Hidup Satu Perjuangan’ karya Amierul Izwan. Kesyukuran dan tidak berputus asa dinyatakan dalam sajak ‘Salahkah Aku Kaya?’ karya Mohd. Najib Asaddok,” ujarnya.
“Secara keseluruhannya, sajak-sajak dalam antologi ini membawa hasrat yang positif dan benar,” ujar Zaen.

Dr. Mohamad Shahidan pula menyentuh soal nada dalam sajak MNAP yang berkaitan dengan sikap. Tema-tema dalam antologi ini, katanya, masih boleh diperhalusi, dan setiap penyair atau penulis sajak mempunyai sikap masing-masing.
Berdasarkan penelitian terhadap 97 buah sajak dalam MNAP, beliau menyenaraikan tujuh nada, iaitu melankolik, romantik, patriotik, sinis, protes, simpati, dan didaktik.
Mohamad mengambil contoh sajak “Berbicara dengan Masa” yang bernada didaktik. Sajak ini, kata beliau, menekankan persoalan bahawa harta yang dimiliki perlu disedekahkan kepada yang sewajarnya.
“Sajak ‘Kitalah Penyambung Perjuangan Bangsa’ karya Aya Rohaiyah Jumin pula pada awalnya bernada sinis, tetapi kemudian beralih kepada patriotik,” ujarnya.
Sementara itu, sajak “Mengukir Nama di Atas Peta” (Barupawati Utamaju) kata Mohamad, bernada simpati dan membangkitkan persoalan pernahkah kita bertanya siapa tokoh yang berjasa dan berusaha untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul?
“Sajak karya Dil Froz Jan, iaitu ‘Sebidang Tanah Kota’ bernada melankolik dalam bentuk naratif. Penyair sedih dengan apa yang berlaku pada tanah milik bangsanya,” jelas beliau.
“Sajak ‘Tanah Watan Kebun Kita’ karya Usman Gumanti juga bernada patriotik. Walau bagaimanapun, daripada keseluruhan sajak dalam antologi ini, banyak yang bernada kritikan,” tambah beliau.
Turut hadir termasuk YBhg. SN Datuk Dr. Zurinah Hassan, beberapa orang penyair dan Pejuang Hartanah, para pelakon veteran seperti Zaidi Omar, Mubarak Majid, Mohd. Amran Nasrudin, Kamarul AR, serta YBhg. Dato’ Haji Ahyat Khalissabri Dato’ Haji Ishak dari Pejuang Media Sdn. Bhd.