Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Rahman Shaari menegaskan bahawa idea dan kreativiti merupakan dua unsur utama yang menentukan kekuatan sesebuah karya puisi.
Beliau menyampaikan pandangan tersebut ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Idea dan Kreativiti dalam Penciptaan Puisi” dalam Kolokium Sastera Kajian Kepengarangan Pengarang Malaysia: Ada Apa dengan Pengarang yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Dewan Bahasa dan Pustaka semalam.
Menurut beliau, ilham merupakan asas pada penciptaan puisi dan perlu dirakam secepat mungkin apabila muncul kerana idea yang datang secara spontan dan mudah hilang jika tidak segera ditulis.
Beliau berkongsi pengalaman ketika menaiki teksi di Perlis apabila mendapat ilham untuk menghasilkan sajak bertajuk “Masa”.
“Sewaktu ilham datang, saya tidak mempunyai kertas atau pen. Saya hanya mengulang-ulang rangkap yang muncul dalam fikiran sehingga sampai di rumah untuk menuliskannya,” katanya.
Beliau menyamakan ilham dengan emas yang ditemui di dalam gua penyamun sebagaimana yang digambarkan dalam sajak “Ali Baba” karya pemuisi Indonesia, Subagio Sastrowardoyo, “Apabila mendapat ilham, ambillah segera sebelum ia hilang”.
Rahman menjelaskan bahawa selepas idea diperoleh, proses kreativiti mengambil alih melalui penyusunan kata-kata, pembentukan imejan dan pengolahan bahasa yang sesuai dengan tujuan puisi tersebut.
Menurutnya, karya yang telah dihasilkan juga boleh melalui proses pemeraman dan penyuntingan bagi memperkemas mutu penyampaian.
Beliau turut mengimbau pengaruh pantun dalam perkembangan awal kepengarangannya melalui pengalaman mendengar seorang saudara tua berpantun ketika majlis meminang di kampung.
Pengalaman tersebut, katanya, menyedarkan beliau tentang keindahan bahasa Melayu dan kemampuannya menyampaikan maksud secara padat serta berlapis.
Dalam pembentangan itu, beliau turut menekankan bahawa sesebuah puisi boleh melahirkan pelbagai tafsiran yang melangkaui maksud asal penyair.
Katanya, penerimaan pembaca merupakan sebahagian penting dalam kehidupan sesebuah karya kerana makna puisi tidak semestinya terhad kepada niat penciptanya.
“Puisi boleh menerbitkan pelbagai makna. Apa yang ditafsirkan oleh pembaca kadangkala melangkaui perkara yang ingin disampaikan oleh penyair,” katanya.
Beliau mengemukakan beberapa contoh puisi karya penyair tempatan seperti Baha Zain, Kassim Ahmad, Rejab F.I. dan Jamel bagi menunjukkan bagaimana tema, pengalaman, ideologi dan emosi mempengaruhi pembentukan sesebuah karya.
Menurut beliau, tema puisi lazimnya lahir daripada pengalaman hidup, cita-cita, kepercayaan serta perasaan yang wujud dalam diri penyair.
Rahman berkata, setiap penyair mempunyai pendekatan yang berbeza dalam mengolah idea menjadi puisi, namun kekuatan sesebuah karya tetap bergantung pada keaslian pengalaman dan kreativiti pengolahannya.
“Idea datang dalam bentuk ilham, manakala kreativiti menentukan bagaimana idea itu disusun menjadi karya yang berkesan,” katanya.