Diterbitkan pada 15 Mei 2026, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Kesusasteraan Melayu terus memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran dan nilai masyarakat melalui penguasaan bahasa yang kukuh, sekali gus menjadi asas utama dalam penghasilan karya yang bermutu. 

Demikian kenyataan Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Rahman Shaari ketika Program Minda Kreatif bersempena Program Majalah Dalam Kelas Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yok Bin, semalam.

Menurut beliau, bidang sastera terbahagi kepada dua cabang utama, iaitu puisi dan prosa yang merangkumi cerpen, novel dan skrip drama. 

Kedua-dua cabang ini membuka ruang kepada penulis untuk mengekspresikan idea dan pengalaman secara kreatif, sekali gus mendekatkan karya dengan realiti kehidupan pembaca. 

“Pengalaman kehidupan kita sendiri boleh menjadi bahan yang kuat untuk diangkat menjadi sebuah karya sastera,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa puisi mempunyai keistimewaan tersendiri kerana sifatnya yang subjektif dan terbuka kepada pelbagai tafsiran. 

Menurut beliau, pemahaman terhadap puisi tidak semestinya seragam kerana setiap pembaca membawa perspektif yang berbeza-beza. 

“Puisi difahami oleh pembaca mengikut sudut pandangan masing-masing, selari dengan teori resepsi dalam kesusasteraan,” ujar beliau.

Teori resepsi merupakan pendekatan kritikan sastera yang berfokus kepada peranan pembaca dalam memberikan makna kepada sesebuah karya, bukan semata-mata pada pandangan pengarang atau teks itu sendiri. 

Beliau turut menjelaskan bahawa puisi bukan sekadar karya seni, malah merupakan medium penting dalam menyampaikan nilai, nasihat dan falsafah kehidupan.

Beliau menegaskan bahawa tradisi puisi seperti pantun dan syair telah lama menjadi asas pembinaan budaya dan pemikiran dalam masyarakat Melayu dahulu dan masih diguna pakai sehingga zaman kini bagi membentuk budaya dan sahsiah masyarakat.

Sementara itu, beliau menekankan kepentingan budaya membaca kerana melalui membaca, kita dapat menguasai serta memperluas keindahan kosa kata yang tidak hanya terletak pada idea, tetapi juga pada ketepatan penggunaan bahasa.

Kredit Foto: Firdauz Abd Radzak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi