Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dunia kesusasteraan tanah air menyaksikan satu anjakan paradigma apabila Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Rahman Shaari memperkenalkan gagasan “Seni untuk Perjuangan Hartanah” sebagai satu keistimewaan baharu yang menghubungkan kreativiti sastera dengan kepentingan ekonomi dan kedaulatan tanah air.
Menurut Dato’ Rahman Shaari, beliau mengimbau sejarah slogan sastera negara bagi memberikan konteks pada gagasan baharu ini.
Beliau berkata, kemunculan sastera ASAS 50 dengan slogan “Seni untuk Masyarakat” telah diperjuangkan oleh tokoh Sasterawan Negara seperti Usman Awang dan Keris Mas pada abad 1950-an, manakala gagasan “Seni untuk Seni” telah diterajui oleh Hamzah Hussin pada hujung tahun 1950-an.
“Perkembangan slogan dalam dunia kesusasteraan tersebut seakan terhenti sehingga pihak Pejuang Hartanah telah memperkenalkan gagasan baharu, iaitu ‘Seni untuk Perjuangan Hartanah’,” ujar beliau.
Dato’ Rahman turut menegaskan bahawa integrasi antara estetika sastera dengan perjuangan hartanah merupakan langkah kritikal dalam mempertahankan kedaulatan negara, sekali gus memastikan maruah ekonomi bangsa tidak terhakis di tanah air.

Sementara itu, penyair Datin Barupawati Utamaju Baharum turut berkongsi latar belakang pendidikannya dalam aliran sains yang juga tidak menghalangnya untuk terus bergiat aktif dalam puisi, di samping mengangkat pantun Melayu lama sebagai “Pantun Usahawan Melayu Lama” yang mendasari semangat keusahawanan.
“Hutang budi seharusnya dibalas dengan budi agar kita tidak selamanya terbelenggu dalam hutang,” jelasnya.
Beliau turut memberikan nafas baharu pada pantun “Hutang Budi” agar lebih relevan dengan dunia perniagaan dan hartanah.
Ujarnya, rangkap “Hutang budi dibawa mati” telah ditukarkan kepada “Hutang budi dibalas budi” bagi memperkukuh jaringan perniagaan dan persahabatan, suatu kenyataan simbolik terhadap pengelakan hutang yang tidak terancang.
