Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Arah tuju sastera negara harus jelas, oleh itu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disarankan untuk membentuk dasar penulisan kreatif.
Pandangan ini diutarakan oleh panel Wacana Penulisan Kreatif, YBhg. Prof Dr. Abdul Halim Ali sempena Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Kreatif DBP, hari ini.
Abdul Halim berkata, penulisan kreatif tidak boleh terbuka begitu saja, kerana penulisan kreatif bukan hanya bidang menulis sahaja, tetapi produk yang boleh dimasukkan dalam industri seni secara keseluruhannya.
“Kita menganjurkan pelbagai jenis sayembara, ada futuristik, ada fiksyen sains, tetapi semua karya itu hendak ke mana?
“Adakah karya-karya itu kekal sebagai buku saja? Hendak dijual ke mana?” katanya dalam wacana yang dimudahcarakan oleh Encik Abdul Ghani Abu. Selain Abdul Halim, turut ditampilkan sebagai panel ialah YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari.
Abdul Halim berkata, generasi muda hari ini tidak mengenal sastera dengan baik dan beliau berpandangan, semua itu berpunca daripada pendidikan.
“Sejak kecil kita digasak dengan subjek Sains dan Matematik, hinggakan bidang itu ada pelbagai aktiviti dan dasar, tetapi hal serupa tidak berlaku pada sastera.
“Hal ini juga menyebabkan audiens kita menjadi bukan pembuat dasar (untuk sastera) jadi hasilnya kita tidak ke mana,” katanya.
Sementara itu, Rahman Shaari berkata, sastera itu fikir dan rasa, sains itu ialah pengetahuan, oleh itu pemikiran sebenarnya ada dalam kesusasteraan.
Katanya, dalam usaha mengangkat karya sastera, antara perkara nombor satu yang perlu dibuat ialah mesti ada kerja-kerja penterjemahan, kerana hal itu akan membantu untuk membawa karya tempatan ke jangkauan yang lebih luas.
“Jangan menulis hanya untuk pertandingan sahaja, buatlah karya yang sehabis baik, walaupun bukan untuk bertanding.
“Ada kala penulis tak tahu pun karya dia diperhatikan. Salina tulisan A. Samad Said misalnya, naskhah yang dapat sagu hati saja dalam pertandingan menulis novel, tapi hari ini novel ini sudah jauh lebih dikenali sehingga peringkat antarabangsa.
“Malah, Salina dibaca dan diperkatakan oleh A. Teeuw,” katanya.