Diterbitkan pada 30 April 2026, 09:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Mertajam – Tiga karyawan utara, Mahizan Husain, Zurhan Bakar dan Muhammad Afif Zulhusni Azhar sepakat bahawa idea tidak hadir semata-mata secara kebetulan, sebaliknya idea itu perlu diasuh dengan kepekaan dan disiplin dalam berkarya.

Mereka berpandangan sedemikian selaku ahli panel dalam forum Wacana Kepengarangan Sasterawan Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Dewan Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun. Sesi dikendalikan oleh moderator, Abdul Aziz Ishak.

Dalam ucapan pembukaan, moderator menegaskan bahawa forum tersebut bertujuan menelusuri proses kelahiran sesebuah karya, bermula daripada benih idea sehinggalah menjadi karya yang bermakna kepada masyarakat.

“Kita akan menyelami sesebuah idea itu lahir, berkembang dan akhirnya diterjemahkan menjadi karya yang memberi makna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Sasterawan Negeri Pulau Pinang 2023, Mahizan Husain menjelaskan bahawa seseorang penulis perlu sentiasa peka terhadap persekitaran kerana bahan karya sering lahir daripada realiti kehidupan yang dekat dengan masyarakat.

Menurut beliau lagi, pengalaman harian yang kelihatan kecil mampu berkembang menjadi naratif besar apabila diolah secara kreatif.

Senada dengan itu, Sasterawan Muda Negeri Pulau Pinang 2023, Muhammad Afif menyentuh tentang hubungan antara emosi, pengalaman peribadi dan penciptaan karya menggunakan kecerdasan buatan.

Menurut beliau, pengalaman hidup sering menjadi nadi kepada penulisan yang jujur dan berkesan manakala konsistensi serta rutin berkarya menjadi asas penting untuk mengekalkan momentum kreatif dalam jangka panjang.

Beliau juga menekankan keperluan kecerdasan buatan dalam membantu penulis mendapatkan fakta yang benar.

Sementara itu, Sasterawan Negeri Pulau Pinang 2025, Zurhan Bakar menumpukan perbincangan terhadap cabaran dalam proses kreatif, termasuk usaha mengekalkan kesegaran idea serta mengelakkan pengulangan tema yang klise.

Beliau menegaskan bahawa penulis perlu sentiasa membaca, mengkaji perubahan semasa dan berani mencuba pendekatan baharu agar karya terus relevan dengan keadaan semasa.

Forum tersebut turut merumuskan bahawa percambahan idea bukan hanya bergantung kepada ilham spontan, sebaliknya menuntut usaha berterusan, pemerhatian mendalam, kekuatan emosi serta disiplin yang tinggi.

Kredit Foto: Putraery Ussin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi