4 Januari 2024, 17:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Liga Penulis Kelantan (LPK), salah sebuah kelab penulis terkemuka di Kelantan telah mengadakan majlis “Meraikan 50 Tahun Kepenyairan Leo A.W.S”, di Kotak Seni.

Majlis ini bertujuan menghargai sumbangan Leo A.W.S terhadap dunia sastera tanah air dan menyerlahkan kepenyairan Leo A.W.S sebagai penulis yang dikenali dan disegani di Kelantan.

Rosli K. Matari mulakan majlis dengan meneliti 25 puisi LEO A.W.S.

Sasterawan Kelantan, Rosli K. Matari tampil membentangkan kertas kerja bertajuk “Mempertahankan Leo A.W. S Pada Suatu Analisis Kritikan Identiti Kepenyairan”. Beliau menyifatkan puisi Leo mementingkan jurus “Keindahan Makna”, iaitu tidak menyusahkan pembaca dengan simpang siur dan warna-warni Keindahan Bahasa.

“Leo cenderung pada pemeragaan puisi- potret, piktorikal dan landskap, namun dihormati. Beliau tetap unik kerana di tanah air, beliau satu-satunya susuk yang berani tampilkan kelainan dan yakin diri secara konsisten meneruskan ciri peragaan puisi ini sebagai identitinya”.

Selanjutnya, Rosli telah meneliti lebih 25 buah karya puisi Leo, merumuskan sebahagian besar puisi Leo memiliki kesan pemikiran, peluasan taakulan, keindahan penghayatan dan anjakan makna serta menegaskan bahawa Leo, antara susuk yang mampu tampil sebagai penyair mapan dalam dunia puisi Kelantan.

Selepas itu, Wan A. Rafar, Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) sebagai panel kedua memulakan majlis dengan membicarakan tentang “Leo A.W.S: Menelusuri Jejak Kehidupan Seorang Penyair”. Ujar beliau;

“Saya sebenarnya ‘cemburu’ dengan Leo, beliau mampu menghasilkan puluhan puisi setiap tahun tanpa jemu. Puisi baginya mengalir keluar seperti bernafas”.

Wan A. Rafar pula mengulas susuk LEO A.W.S sebagai penyair mapan.

“Dengan membaca puisi Leo persis membaca autobiografinya.  Leo penyair yang gigih berpuisi dan menulis apa saja yang dilihat dan berdasarkan pengalamannya sendiri seperti kenangan lalu, pertemuan dan perpisahan”. Malah, istimewanya beliau adalah dengan mengetengahkan dialek Kelantan ketika menulis puisi.

Penyelaras LPK, Mohd Dahri Zakaria menjelaskan majlis meraikan Leo A.W.S merupakan sebuah manifestasi penghargaan khalayak terhadap sumbangan besar penulis khususnya atas karya-karya yang dihasilkan kepada masyarakat.

Penyelaras LPK, Mohd Dahri Zakaria.

Selain itu, Dato’ A. Aziz Deraman, Presiden PERADABAN juga mantan Ketua Pengarah DBP mengatakan bahawa karya Leo sangat merakyat dan selalu bersedia untuk bersama-sama dalam kelompok sastera khasnya di Kelantan.

“Beliau masih terus menulis dan membantu rakan-rakan dalam penerbitan karya.Ternyata beliau sangat gigih, pandai dalam proses kreatif khususnya dalam genre puisi, pintar mengambil pelbagai tema kehidupan masyarakat”.

Antara kertas kerja iringan yang dibentangkan adalah, “Leo A.W.S: Lenggang-lenggoknya Bersajak” oleh Rossem, “Puisi-puisi Leo A.W. S yang Lain” oleh Salman Sulaiman,   “Sajak-sajak Kontemporari Leo A.W. S di Media Sosial oleh Nimoiz T.Y, Leo A. W. S: Seorang Manusia Puisi oleh N. Faizal Ghazali, dan “Leo, Pengamat yang Tekal” oleh Abdullah Hussaini.

Sebelum itu, Leo A.W.S atau nama sebenarnya Abdul Waled@Suhaimi bin Ismail antara penulis Kelantan yang dikenali di Malaysia. Menerima pendidikan di Universiti Malaysia sebelum menjadi guru di Sarawak pada tahun 1979 dan bersara wajib pada 31 Disember 2010 di negeri kelahiran.

Beliau dikenali sebagai penulis yang prolifik, melalui pembuktian penerbitan 34 buah naskhah karya asli. Kebanyakan karyanya, diterbitkan di rumah penerbitan miliknya, Pustaka Dewan Puisi (PDP). Terkini, beliau sedang menyiapkan manuskrip bertajuk Puisiku Tidak Berhenti.

Beberapa orang penulis dan penyair Kelantan tampil membuat persembahan khas buat Leo dengan mendeklamasi dan menyampaikan lagu puisi, antaranya Anbakri, Maroof Seman, Salman Sulaiman, Tengku Anizan Tengku Ibrahim dan N. Faizal Ghazali.

Antara tetamu yang hadir dalam majlis tersebut.

Antara yang turut hadir meraikan Leo A.W.S  ialah Mokhtar Petah, tokoh wartawan dan penulis; Abham T.R, Tokoh Sastera Kelantan; Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, mewakili Pengarah DBP Wilayah Timur; Zainal Abidin Muhamad, Ketua Satu Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan Nimoiz T.Y selaku juruacara majlis,

Turut hadir adalah Mukhtar Mustafa, Penyelaras Kembara Sastera; Baharin Ilias, Pegawai Adat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK); Darma Mohammad, Mazli Husma, Rossem, Abdul Hadi Yusoff, Ramli Abdul Halim, Wan Rahim, Ghazali Sulung, Zuharman Mohd Noor, Nik Mohd Hafiz Abdullah, Sujata Wee dan Ramzan Ghazila.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.