Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRosli K. Matari mengejutkan khalayak, meletakkan Leo A.W.S. antara baris 16 penyair layak berada di garis depan dalam dunia puisi Kelantan. Ikuti, Zuharman Mohamad Nor menyorot hujah pembentangan menarik ini.
Terdapat 50 penyair yang boleh dikelompokkan sebagai benar-benar penyair masyhur Kelantan. Namun begitu, daripada jumlah tersebut, Rosli K. Matari menegaskan, terdapat seramai 16 penyair sahaja yang dapat dianggap sebagai berwibawa pada garis depan.
Leo A.W.S. adalah antara baris penyair yang layak terkelompok untuk berada pada garis depan dalam dunia puisi Kelantan. Siapa sangka?
Barisan penyair Kelantan selalu mendapat perhatian, dan tidak dinafikan merupakan sebahagian antara para penyair yang cukup memberikan sumbangan dan kedinamikan penting dalam perkembangan dunia puisi tanah air.
Oleh hal yang demikian, Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari benar-benar mengejutkan khalayak apabila beliau menghujahkan dengan penelitiannya, meletakkan Leo A.W.S. sebagai antara sebaris 16 penyair yang dianggapnya layak berada di garis depan dalam dunia puisi Kelantan.
Sasterawan Negeri Kelantan ini yang sejak dulu-dulu lagi, pada apa-apa pandangan, komentar dan hasil selidikannya sering dihormati dan dikagumi, memulakan penelitiannya sejak tahun 1984 lagi terhadap perkembangan dan kedinamikan dunia puisi Kelantan, pada cakupan era 1960-an, sehingga mutakhir kini.
Khusus berkenaan Leo, beliau berhujah melalui kertas kerjanya, “Mempertahankan Leo A.W.S. pada Suatu Analisis Kritikan Identiti Kepenyairan”, dibentangkan sempena program Meraikan 50 Tahun Kepenyairan Leo A.W.S. anjuran Liga Penulis Kelantan (LPK), bertempat di kafeteria Kotak Seni, Kota Bharu, 30 Disember tahun lepas.
Dihadiri lebih 50 orang khalayak sastera, kenyataan Rosli ini adalah di luar dugaan. Selama ini, kepenyairan Leo A.W.S. pada tanggapan umum, terpandang kreativiti yang berlegar dengan beberapa ciri puisi Leo yang dianggap sebagai mudah, ringkas dan ringan. Sesetengahnya pula bagai kreativiti yang remeh. Justeru, kebanyakan puisi penyair ini merupakan:
Hal yang demikian, menurut Rosli lagi, menyebabkan kreativiti Leo lebih cenderung dianggap umum sebagai menyendeng kepada:
Terdahulu, awal sebelum pembentangan tersebut, Rosli menyatakan, daripada ratusan baris penyair Kelantan yang mengisi sejarah dan menyumbangkan kedinamikan dunia puisi Kelantan yang terkenal sebagai Lubuk Puisi di tanah air – dahulu dan sekarang, dengan mengambil kira sepanjang enam dekad – terdapat 50 penyair yang boleh dikelompokkan sebagai benar-benar penyair masyhur Kelantan.
Namun begitu, daripada jumlah tersebut, Rosli K. Matari menegaskan, terdapat seramai 16 penyair sahaja yang dapat dianggap sebagai berwibawa pada garis depan, manakala empat orang merupakan penyair terunggul Kelantan.
Sungguhpun demikian, pada pernyataan tersebut, beliau tidak menyenaraikan baris nama itu bagi mengelakkan perasaan kecil hati dalam kalangan penyair Kelantan. Pada kejutan itu, beliau hanya menegaskan bahawa Leo A.W.S. sebenarnya merupakan antara penyair berkemampuan menduduki garis depan.
Dalam pembentangannya, Sasterawan Negeri Kelantan ini menegaskan bahawa punca kesilapan dan kelemahan awal dalam kalangan pembaca dan khalayak sastera di tanah air terhadap puisi atau kreativiti Leo A.W.S. berlaku atas dua aspek:
Padahal, pemikiran, taakulan hatta pelukisan puisi oleh Leo adalah tetap bermanfaat dan
mempunyai kesan nilai dari sisi kesusasteraan dan dunia puisi.
Malahan, ujar beliau lagi, sebahagian besar puisi daripada penyair ini terbukti
berkemampuan memiliki: (a) kesan pemikiran, (b) peluasan taakulan, (c) keindahan penghayatan, dan (d) anjakan pemaknaan yang didapat dikagumi, seandainya para pembaca sanggup dan mampu berfikir secara kritis.
Selanjutnya, kepenyairan Leo A.W.S. dapat jelas terbukti sebagai mampu bermandiri dengan: (a) identiti atau jati dirinya, (b) beberapa ciri keistimewaan pengucapan serta (c) serba kekuatan kraf puisinya.
Dalam hal ini, sejauh manakah, sebenarnya, kekuatan kraf puisi Leo A.W.S.?
Jika tanpa prejudis, sebenarnya, pada puisi Leo, khalayak sastera akan dapat berkongsi pengalaman, pemikiran, dan tetap mendapat penikmatan, serta penghayatan, termasuk juga didaktisme.
Rosli K. Matari mengemukakan sebanyak 16 jenis kraf kreativiti utama yang menjadi mandiri dan keistimewaan dalam pengucapan puisi oleh penyair ini. Beliau berhujah dan membuktikan setiap satu kekuatan kraf puisi Leo, yang terdiri daripada aspek-aspek yang berikut:
“Oleh yang demikian, di manakah bukti bahawa penyair ini tidak memiliki mandiri atau keistimewaan pada juring kemahiran dan kekuatan pengucapan dalam kreativiti atau kraf puisi beliau?” Rosli selanjutnya meminta khalayak menafikan segala hujahnya.
Begitu … Rupa-rupanya, Leo A.W.S. ialah penyair hebat!
Rosli yang sejak dari dekad 80-an dulu lagi dijoloki sebagai “Profesor Puisi” di Kelantan, mampu menyedarkan khalayak untuk memahami secara mendalam dan menghargai sepenuhnya keunikan dan keistimewaan kreativiti puisi Leo.
“Penyair ini sebenarnya memiliki daya kekuatan tinggi dalam kraf puisinya, yang selama ini tersangka lekeh, justeru banyak hal kecil-kecil yang lebih mendasari pemikiran puisinya, selain pengucapannya yang tampak prosaik dan lebih mendominasi pengolahan puisinya,” jelas beliau.
Tegasnya lagi, “Jika tanpa prejudis, sebenarnya, pada puisi Leo, khalayak sastera akan dapat berkongsi pengalaman, pemikiran, dan tetap mendapat penikmatan, serta penghayatan, termasuk juga didaktisme.”
Pada pembentangan selama lebih satu jam setengah, dengan kertas kerja setebal 52 halaman, Rosli K. Matari membawa khalayak mendalami beberapa contoh puisi Leo A.W.S. yang tersangka agak cetek.
Antaranya termasuk puisi “Pelangi pun Muncul & Menghilang”:
Pelangi muncul
Tatkala hujan panas
Menjelang senja;
Langit hitam sekejap
Awan pantas berlalu!
“Puisi ini tampak ringan, ringkas dan cetek,” ujar Rosli. Beliau menegaskan, “Kesilapan dalam kalangan kita ialah, kita tidak memikirkan bahawa penyair ini melakukan transformasi dalam peminjaman aliran haiku, walaupun puisi ini bukan haiku. Kita tidak boleh memaksa cara penyair ini harus mengungkapkan puisinya. Lagipun, mana ada haiku atau gaya seumpama haiku harus panjang berjela-jela?”
Jelas beliau, sesiapa pun pernah dan biasa melihat pelangi muncul, yang akhirnya menghilang. Namun begitu, seringkas itu pun, bagi pembaca yang berfikiran tinggi, puisi ini mempunyai nilai pada kaitan eksistensial. Jika sebagai eksistensial humanistik, renungan dapat diperoleh pada kesedaran diri dan hidup bahawa dunia (keindahan atau kemewahan) ini tiadalah kekal abadi.
Malah, puisi-puisi Leo boleh dianjakkan lagi pemikirannya terhadap kesedaran dan keinsafan dalam konteks keislaman. Tingkatkanlah lagi ketakwaan pada Ilahi, sebelum datangnya ajal, kerana alam memberikan iktibar besar, seperti “Pelangi pun Muncul & Menghilang”.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
Kredit Foto: Dahri Zakaria
_________________________
Zuharman Mohammad Nor merupakan seorang penyajak yang berasal dari Kelantan. Sajak-sajak beliau pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera, akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia.