Oleh Rasoul Manan
12 Disember 2023, 10:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Georgetown – Kisah kemelut keluarga dan keluarga disfungsi merupakan antara plot dan tema yang mula popular diselami oleh kalangan pengkarya kontemporari, temasuk daripada kalangan penulis sastera Melayu.

Forum yang membicarakan hal ini, “Disfungsi Menjadi Inspirasi? Merungkai Kemelut Keluarga dalam Penulisan” menampilkan Azrin Fauzi, Rita Robert Rawantas dan Abdul Rahman Shah sebagai ahli panel dan Wan Nor Azriq selaku moderator sempena Georgetown Literary Festival (GTLF), baru-baru ini.

Azrin Fauzi memulakan sesi dengan menjelaskan bahawa keluarga yang tidak memenuhi peranan yang sepatutnya, yang disebut sebagai “keluarga disfungsi”, akan menyebabkan kemelut dalam institusi kekeluargaan. Seseorang yang mengalami kemelut ini mungkin terasa tertekan lalu berlakulah konflik antara ahli keluarga yang berpanjangan.

“Impian dan cita-cita yang berbeza tanpa sokongan turut menyebabkan sesebuah keluarga kurang berkesan, namun, kisah kemelut keluarga sering dijadikan latar atau penggerak naratif dalam karya sastera.”

Seterusnya, Rita Robert Rawantas mengambil contoh karya Ruhaini Matdarin, Cinta Hari-hari Pandemik, sebuah trilogi yang menjelaskan kemelut dalam keluarga.

“Ini bukanlah novel cinta tipikal, penulis berjaya mengetengahkan isu kesihatan mental dan cinta dalam sesebuah keluarga. Ada kisah tentang keluarga yang bergelut menghadapi pelbagai dugaan, termasuk kehilangan perniagaan akibat COVID-19.

“Selain itu, kisah seperti watak orang tua yang miang, gatal dan curang juga telah mencuit sebuah keluarga yang harmoni, lalu menyebabkan pengabaian ahli keluarga,” jelas beliau lagi.

Abdul Rahman Shah pula berkongsi tentang sebuah keluarga disfungsi yang setiap ahlinya menampilkan sifat yang eksentrik, tetapi mampu menjaga kedamaian dan memiliki perasaan kasih sayang. Beliau mengambil contoh filem arahan Wes Anderson, The Royal Tenenbaums.

Filem ini menceritakan kisahkeluarga Tenenbaum yang terdiri daripada ayah, ibu dan tiga orang anaknya. Masing-masing memiliki kisah sedih namun masih percaya bahawa setiap kesulitan akan menemukan keindahan atau jalan penyelesaiannya.

Sebelum berakhir, barisan panel membuat kesimpulan bahawa konflik yang paling dahsyat sering terjadi dalam lingkungan yang terdekat, iaitu bermula daripada sebuah rumah dan kisah-kisah ini akan dirungkai dalam bentuk penulisan atau visual.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.