Oleh Rasoul Manan
7 Disember 2023, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Georgetown – Cerpenis, Fazleena Hishamuddin telah melancarkan karya baharu beliau, kumpulan cerpen Diam Dalam Gempita sempena Georgetown Literary Festival (GTLF), baru-baru ini.

Dalam majlis pelancaran tersebut, beliau menyatakan bahawa karya yang dihasilkan ini bertujuan untuk meraikan wanita tetapi juga bukan untuk memperlekeh kaum lelaki, apatah ingin mencari golongan mana yang menang.

“Tidak ada guna memberitahu siapa yang betul, siapa yang lebih baik, siapa yang menang dalam peperangan antara jantina. Kisah-kisah yang dirakam ini sekadar mencari perbezaan dan ketidakadilan, lebih bermakna kalau kita meraikan perbezaan itu.

“Lelaki dan wanita dicipta oleh Tuhan dengan fitrahnya yang memang berlainan, sesuatu yang harus dinikmati dan dirayakan,” jelas beliau lagi ketika menjawab persoalan yang dikemukan oleh moderator, Hafiz Hamzah.

Seterusnya, Fazleena berharap agar lebih ramai novelis dan cerpenis daripada golongan wanita terutama yang sudah berkeluarga agar terus menghasilkan karya kerana apabila sudah dihambat dengan kekangan, mereka sudah mula tumpul untuk menulis.

Diam Dalam Gempita mengetengahkan 14 kisah seperti kebebasan bersuara, stigma sosial, diskriminasi, subjek tabu, dan peranan wanita pada zaman kontemporari lagi mencabar ini.

Fazleena Hishamuddin ialah seorang ibu, penulis, penggiat teater, dan penulis lirik. Kumpulan cerpennya Tari Pasar Perempuan memenangi manuskrip terbaik pertandingan Writers Unleashed 2.0 pada tahun 2017 dan karya liriknya bagi Pelukan Angkasa menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-36 pada tahun 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.