Oleh Suyuthi Yusuf
28 September 2023, 12:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banten – Buku Tuhfat al-Nafis: Jejak Susur Galur Keturunan Melayu dan Bugis serta Raja-rajanya dan Dinamika Orang Bugis ke Johor pada Abad ke-18 telah dilancarkan semasa hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) yang berlangsung di Indonesia Convention Exhibition (ICE), BSD City, Banten pada 27 September.

Penerbitan kedua-dua buku tersebut merupakan usaha sama antara Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Negeri Makassar (UNM).

Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, Yth. Drs. H Muhammad Jusuf Kalla, Wakil Presiden Indonesia ke-10 dan Tuan Yang Terutama Dato’ Syed Md Hasrin Tengku Hussin, Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Kedua-dua buku tersebut merupakan hasil transliterasi dan penulisan oleh Profesor Dr. Andi Ima Kesuma Indra Chandra, Guru Besar dalam Bidang Ilmu Sejarah dan Kepariwisataan, Universitas Negeri Makassar (UNM). Hasil penyelidikan beliau ini memerihalkan aspek pensejarahan antara Malaysia dengan Indonesia yang sesuai dibaca oleh masyarakat umum, khasnya pembaca yang meminati bacaan berkaitan kesusasteraan dan sejarah.

Buku Tuhfat al-Nafis: Jejak Susur Galur Keturunan Melayu dan Bugis serta Raja-rajanya ini berbeza daripada penerbitan buku yang sama oleh penerbit lain sebelum ini kerana buku yang diterbitkan oleh ITBM, UNM dan UTM ini merupakan salinan daripada manuskrip asal yang tersimpan di muzium Indonesia.

Penerbitan kedua-dua buku ini menambahkan dan merancakkan lagi kepustakaan Nusantara selain boleh menjadi rujukan berkaitan dengan sejarah dan ilmu pengetahuan Nusantara.

Turut hadir dalam majlis yang sama ialah YBhg. Prof. Dr. Ir. H. Husain Syam, ASEAN Rektor UNM, YBhg. Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, YBrs. Tuan Noor Amin Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, YBrs. Tuan Sakri Abdullah, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM merangkap Ketua Delegasi Malaysia ke IIBF 2023 dan YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam majlis yang sama juga turut diadakan sesi wawancara khas bertajuk “Ukhuwah Jati Diri ke Arah Menduniakan Nusantara”. Antara ahli panel bagi sesi tersebut termasuklah Drs. H. Muhammad Jusuf Kalla, Dato’ Seri Amirudin Shari, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Profesor Dr. Andi Ima Kesuma Indra Chandra.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.