7 Disember 2023, 20:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – YB Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menganggap bahawa penerbitan antologi puisi bertemakan Rukun Negara, Membaca Mimpimu Ibunda, Kami Pun Merangkai Puisi-puisi Cinta oleh Nuha Books tepat pada masanya, selari dengan komitmen kementerian beliau dalam meningkatkan penghayatan prinsip berkenaan.

Datuk Aaron juga berharap agar penerbitan buku ini dapat merakyatkan Rukun Negara sebagai pegangan hidup berukun yang mesti didakap.

Rukun Negara, tambah beliau, harus dibudayakan dalam setiap aspek kehidupan demi melahirkan Masyarakat Madani yang mempunyai jati diri dan semangat patriotik tinggi.

“Semoga penerbitan ini mampu mencapai objektif penerbitannya, dan sebagai satu usaha pihak swasta dengan sokongan serta kerjasama pihak kerajaan,” ujar Aaron.

Beliau menyatakan sedemikian dalam ucapan ketika melancarkan Antologi Puisi Rukun Negara dalam Projek Penulisan Nasional pada 6 Disember di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam.

Acara tersebut diadakan bersempena dengan Festival Buku Antarabangsa Selangor 2023, anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), di tempat yang sama dari 1 hingga 10 Disember 2023.

Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IV Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970 merupakan sebuah dokumen yang cukup lengkap sebagai asas yang kukuh untuk memperkasa semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Rukun hidup bernegara telah digubah oleh pemimpin terdahulu secara bijaksana. Satu daripada objektif Rukun Negara adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

Turut hadir pada pelancaran tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Ybhg. Datuk Azman Mohd. Yusof dan timbalannya, Encik Mohamad Sobri Mat Daud; Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Hajah Salasiah Abdul Wahab; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Ybhg. Datin Paduka Hajah Mastura Haji Muhamad; Yang Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Selangor, Ybhg. Datin Sri Ismalina Ismail; pengasas Kebun Puisi merangkap Ketua Lembaga Penasihat Yayasan Rukun Negara, Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi; dan Editor Perunding Nuha Creative Resources, Encik Mohamed Nasser Mohamed.

Antologi puisi Membaca Mimpimu Ibunda, Kami Pun Merangkai Puisi-puisi Cinta yang diterbitkan dalam tiga jilid mengandungi karya daripada pelajar berusia tujuh tahun sehingga Sasterawan Negara berumur 81 tahun, diselenggarakan oleh Ybhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin, Rusina Othman dan Dr. Budiman sendiri.

Menurut Budiman, beliau terus menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Rukun Negara, Dr. Noor Azam Samsudin untuk membincangkan cadangan Mohamed Nasser agar buku puisi bertemakan Rukun Negara diterbitkan.

“Akhirnya, kami bersepakat untuk bekerjasama menerbitkan antologi puisi berkenaan kerana berasa inilah masa yang paling sesuai untuk membugarkan budaya dan merakyatkan Rukun Negara, khususnya dalam kalangan generasi muda,” jelas beliau.

Sementara itu, dalam prakatanya, Datuk Dr. Lim menegaskan bahawa tanggungjawab memulihkan negara tidak selamanya dipikul oleh kerajaan semata-mata. Pelbagai pihak, katanya, turut mempunyai peranan untuk menangani isu, seterusnya berikhtiar membantu dalam menangkis sebarang unsur yang mampu memudaratkan negara.

“Justeru, Nuha Books yang sedang berkembang dinamik, dapat bekerjasama dengan Yayasan Rukun Negara dan Kebun Puisi menerbitkan antologi puisi berasaskan Rukun Negara memang amat disokong.”

Dalam setiap kita, tambah Dr. Lim, tersemat teguh kecintaan kepada bangsa dan negara, serta perpaduan dan kedamaian, dan kita ingin mewariskan pusaka indah ini untuk anak-anak generasi yang kemudian.

Kredit Foto: Raja Yusoff Ariffin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.