9 Oktober 2023, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Johor Bahru – Bahagian Buku Sastera, DBP dengan kerjasama Tourism Johor dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah menganjurkan “Bengkel Perolehan Antologi Puisi Pelancongan” pada 4 dan 5 Oktober lepas yang bertempat di Holiday Inn Express and Suites. Bengkel yang berlangsung selama dua hari ini dibimbing oleh Dr. Lim Swee Tin, pengarang dan penyair terkenal di Malaysia.

Para peserta bengkel.

Bengkel ini diadakan untuk mempromosikan warisan budaya serta destinasi pelancongan tempatan di Johor melalui seni puisi. Antologi puisi yang akan dihasilkan nanti dapat menjadi salah satu sumber inspirasi dan pengetahuan tentang kepelbagaian budaya negeri Johor kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Dr. Lim Swee Tin, pembimbing bengkel.

Lebih 30 peserta telah menyertai bengkel tersebut yang terdiri daripada peserta yang arif tentang tempat-tempat pelancongan di Johor. Antara peserta bengkel adalah dari Persatuan Pelancong Bandar dan Alam Semula Jadi Johor, Koperasi Pelancongan Johor dan pelajar jurusan Pengurusan Pelancongan daripada pelbagai institut pengajian tinggi.

YBrs. Ts. Dr. Mohd. Azlan Ab Jalil, Timbalan Pengarah Tourism Johor sedang menyampaikan ucapan.

Sementara itu, YBrs. Ts. Dr. Mohd. Azlan Ab Jalil, Timbalan Pengarah Tourism Johor dalam ucapan perasmian bengkel menyatakan bahawa Tourism Johor mempunyai matlamat tersendiri termasuklah dalam mengetengahkan budaya dan warisan negeri Johor kepada pelancong.

Encik Azam Juhari, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP.

Selain itu, peserta juga diberikan peluang berinteraksi dengan Encik Azam Juhari, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, yang berkongsi proses penerbitan karya kreatif serta peluang penerbitan dengan DBP.

Pada akhir bengkel, para peserta berjaya menghasilkan pantun, sajak dan syair tentang tempat-tempat menarik, makanan, budaya, kesenian dan tokoh yang melambangkan keunikan dan keindahan negeri Johor. Antologi puisi ini dijangka akan diterbitkan oleh DBP dengan kerjasama Tourism Malaysia Johor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.