Diterbitkan pada 9 Julai 2025, 18:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pontian Penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Negeri Johor ke-39 berjaya menonjolkan bakat enam pendeklamasi terbaik dari Johor dan menyaksikan kemunculan juara baharu, iaitu Atikapuspha Sarkawi Ramli dengan deklamasi puisi “Menjulang Bahtera Madani” nukilan Mohd Radzi Haji Abdul Hamid.

Kemenangan ini sekali gus melayakkan beliau untuk beraksi di pentas SDPK Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Melaka pada bulan Ogos nanti.

Atikapuspha membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000, piala pusingan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Terdahulu, SDPK Johor dimenangi oleh Norafiah Saini selama tiga tahun berturut-turut.

Naib juara, Siti Nurulain Taham mempertaruhkan puisi berjudul “Cinta Murni” nukilan Ahmad Sarju, manakala tempat ketiga dirangkul oleh Abd Malik Mohamad Shah dengan puisinya yang bertajuk “Pelataran Jagat” nukilan Akmal Aizat Abdul Aziz. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700 dan RM500.

Sementara itu, tiga pemenang sagu hati, iaitu Muhamad Syahmi Samsuddin, Norazizi Samsudain dan Naurah Mursyidah Naili Nasir masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200.

Untuk rekod, SDPK Johor dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan (DBPWS), Persatuan Penulis Johor (PPJ), dan Kerajaan Negeri Johor yang telah berlangsung di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Pontian pada 5 Julai 2025 dengan penyertaan sebanyak 43 orang peserta.

Menariknya, sayembara pada kali ini telah menerima sambutan yang begitu menggalakkan daripada kalangan belia.

Antara peserta yang terlibat termasuklah pelajar tingkatan enam serta mahasiswa dan mahasiswi universiti.

Kesemua peserta menzahirkan rasa keterujaan mereka kerana dapat beraksi di pentas SDPK yang berprestij, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme melalui acara deklamasi puisi.

Majlis penutup sayembara ini telah disempurnakan oleh Pengarah DBPWS, YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Kredit Foto: Muhamad Syahmi Samsuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi