Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Sajak berjudul “Potret Silam di Muzium Bangsa” karya Sani La Bise telah membawa tuah kepada Najmi Adli Mustafa apabila beliau dinobatkan sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SPDK) Peringkat Negeri Sembilan kali ke-39 yang berlangsung pada 19 Julai 2025 di Balai Ilmu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM).
Enam daripada 24 orang peserta yang menyertai SDPK Negeri Sembilan merupakan bekas juara negeri, yang kembali ke pentas deklamasi bagi merebut gelaran tersebut.
Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka kali ini dan sekali gus Najmi Adli menjadi juara baharu yang membawa pulang wang tunai RM1,000.00, watikah dan hadiah iringan, serta akan mewakili Negeri Sembilan ke SDPK Peringkat Kebangsaan pada 16 Ogos 2025 di Melaka.
“Ini kali kelima saya menyertai SDPK Peringkat Negeri Sembilan kerana saya amat berhasrat untuk mewakili negeri saya sendiri ke peringkat kebangsaan,” kata Najmi Adli, anak kelahiran Jempol, Negeri Sembilan, yang merupakan mahasiswa tahun akhir program Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Naib johan, Umar Mokhtar Abdullah dan pemenang tempat ketiga, Ermi Syafiqah Mohd Saat, masing-masing menerima RM700 dan RM500 setiap seorang berserta watikah dan hadiah iringan. Kedua-duanya mendeklamasi sajak “Pembawa Pesan Penyair” karya Zainal Rashid Ahmad.
Panel hakim yang terdiri daripada Encik Zaen Kasturi (Ketua Panel Hakim), Puan Nor Azah Abd. Aziz dan Dr. Fazilah Husin turut mengakui saingan sengit dalam kalangan peserta kali ini kerana masing-masing telah menampilkan deklamasi yang amat memuaskan.
Sebahagian peserta menampilkan pembaharuan dan variasi dalam persembahan.
“Kami mencari suara yang jujur dan gaya yang bukannya dibuat-buat ketika deklamasi,” kata Zaen lagi ketika menyampaikan ulasan Ketua Panel Hakim sebelum keputusan diumumkan.
Acara tahunan ini ialah sebahagian daripada Program Merakyatkan Puisi yang menggabungkan empat-dalam-satu program, iaitu:
Program Merakyatkan Puisi ini anjuran bersama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan IPGKRM, dengan sokongan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah.
