Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Sajak lahir daripada getaran perasaan dan kejujuran jiwa penyair. Demikian pandangan yang dikongsikan oleh YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Langit Rotorua: Sebuah Percakapan Singkat” dalam Kolokium Sastera: Kajian Genre Puisi yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam.
Menurut beliau, sajak bukan sekadar catatan pengalaman, sebaliknya merupakan curahan perasaan yang terbit daripada pertembungan diri dengan tempat, suasana dan manusia.
“Penyajak sering keluar daripada dirinya apabila berada di tempat baharu. Sensitiviti mudah terusik, lalu usikan itu menjelma menjadi kata, baris dan rangkap sehingga terbentuklah sebuah karya,” jelasnya.
Tambah beliau, bahasa dalam sajak ialah bahasa jiwa. “Sesebuah puisi bukan hanya untuk difahami secara makna lahiriah, tetapi perlu dirasai dan dinikmati secara batiniah.
“Di dalamnya, terkandung suara hati, nyanyian rasa serta sketsa sukma yang kadangkala sukar diluahkan melalui bentuk penulisan lain,” ujarnya.
Pembentangan beliau turut menyentuh latar penerbitan kumpulan puisi Langit Rotorua yang menghimpunkan 70 karya hasil pengalaman beliau di pelbagai negara.
Buku yang diterbitkan oleh UMK Press pada tahun 2023 itu memadukan puisi dan catatan kreatif yang merakam proses penciptaan karya serta refleksi peribadi penyair terhadap dunia yang dilawati.
Lim mengakui bahawa beliau gemar membaca karya berbentuk kesan kunjungan sejak dahulu, termasuk antologi puisi Kesan Kunjungan (1989) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang disifatkannya sangat berkesan.
Tradisi merakam pengalaman luar negara melalui puisi dan catatan, menurutnya, memperkaya perspektif sastera tempatan.
“Apabila saya merancang menerbitkan buku baharu, saya sedar banyak karya dan catatan ditulis ketika berada di luar negara.
“Subjeknya berbeza, emosinya pelbagai, ada persetujuan, ada juga pertembungan. Semua itu membentuk pengalaman batin yang menarik untuk digarap,” katanya.
Antara pengalaman yang menjadi ilhamnya termasuk pertemuan dengan seorang pelukis tua dari Jawa Timur di Jakarta serta detik kejatuhan menara berkembar World Trade Center ketika beliau berada di Taipei bagi mengikuti Penataran Karya Sastera 2001.
Pengalaman sedemikian, menurutnya, bukan sekadar peristiwa luaran, tetapi turut mencetuskan reaksi psikologi yang mendalam.
Secara keseluruhan, beliau menganggarkan pernah mengunjungi sekitar 14 negara, sama ada atas tujuan melancong, menghadiri seminar, membentangkan kertas kerja, mahupun mendeklamasikan sajak, termasuk di United Kingdom.
Di setiap tempat, beliau lazimnya mencatat, melakar dan memerhati manusia serta persekitaran.
Penyusunan Langit Rotorua dilakukan secara sederhana dengan mengikut turutan rasa dan pengalaman di negeri-negeri yang dilawati.
Karya-karya tersebut merakamkan lima perkara utama, iaitu alam, suasana persekitaran, masyarakat, sejarah, dan budaya, selain reaksi peribadi terhadap apa-apa yang dilihat dan dirasai.
“Semua yang dicatat ialah perkara yang saya cenderungi. Ada kesedaran baharu yang lahir daripada pertembungan dengan dunia yang berbeza daripada rutin harian.
“Semua pengalaman itu berbaur dan mengasyikkan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa usaha mengumpulkan karya menjadi satu kumpulan puisi merupakan proses penting dalam perjalanan seorang penulis.
Melalui penerbitan buku, pemikiran, proses kreatif dan kesinambungan berkarya dapat didokumentasikan serta dinilai kembali.
Walau bagaimanapun, Lim mengakui beliau lebih cenderung mencatat dan melakar pengalaman berbanding menyampaikan pengajaran secara langsung.
Baginya, Langit Rotorua ialah lakaran introspeksi dalam merakamkan suasana dan emosi sepanjang perjalanan hidup seorang penyair.