25 Januari 2023, 12:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru-baru ini, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) tahun 2000, Dr. Lim Swee Tin, membintangi filem arahan kedua Sabri Yunus, Duan Nago Bogho. Raja Yusoff Ariffin mendekati beliau bertanyakan perihal langkah bermulanya menjadi pelakon filem.

Penulis berlakon? Bolehkah kerana tiada pengalaman berlakon langsung? Seperti yang diakuinya, pada mulanya beliau tidak yakin kerana beliau bukan pelakon, dan hanya dipanggil deklamator. Ketika tiada penyanyi lagu rakyat sebenar, beliau tampil sebagai pengganti, selain menggiatkan kesenian menora.

Sebagai catatan, Allahyarham Mustafa Jusoh dan Mohd. Adzlan Sulong (Mazlan Abdullah) adalah antara penulis (penyair) tanah air yang pernah berlakon dalam drama televisyen. Allahyarham Maimon Mutalib juga kerap tampil dalam drama televisyen, dan membintangi 27 buah filem, termasuk filem Cuci pada 2008.

Penulis skrip dan penulis lirik, Siso Kopratasa juga muncul dalam teater Sijil Penuh (1986), karya dan arahan Allahyarham Khalid Salleh, serta membintangi filem Rozana Cinta ’87 (1987), arahan Nasir Jani.

Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Kuala Lumpur, Pyanhabib berlakon dalam teater Wira Bukit (1986), karya SN A. Samad Said, arahan Mior Hashim Manap, membintangi filem Kembara….. Seniman Jalanan (Nasir Jani), Tsu-Feh Sofiah (Rahim Razali – 1986), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), serta Rock Oo! (2013), Apokalips X (2014), dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium (2015 – semua arahan Allahyarham Mamat Khalid).

Menurut Dr. Lim Swee Tin, dunia teater bukan asing baginya kerana pernah menjadi pengarah pada tahun 1972. Beliau mengarahkan dramatari Puteri Saadong di Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1991. Dua puluh tujuh tahun kemudian, mengarahkan Limau Nipis Naga Berseru untuk slot Panggung Tradisional di Pusat Pelancongan Malaysia atau MaTiC.

Pada tahun 2018 juga, beliau muncul dalam segmen menora untuk telefilem Pak Ya Cong Codei: Siti di Hati, arahan Sabri Yunus. Menariknya, beliau turut menggayakan menora dalam satu adegan dalam filem Duan Nago Bogho. Beliau menceritakan detik mula melangkah ke layar lebar atau pawagam.

Ketika dihubungi oleh penerbit dan pengarah Duan Nago Bogho, saya tertarik pada judulnya itu. Kombinasi aksara “N” dan “O” menghasilkan bunyi yang melurus dalam sebutan.

Penulis berlakon? Bolehkah kerana tiada pengalaman berlakon langsung? Seperti yang diakuinya, pada mulanya beliau tidak yakin kerana beliau bukan pelakon, dan hanya dipanggil deklamator. Ketika tiada penyanyi lagu rakyat sebenar, beliau tampil sebagai pengganti, selain menggiatkan kesenian menora.

“Saya terima tawaran tersebut kerana subjek kesenian makyung menarik perhatian. Tetapi, Duan Nago Bogho bukan filem persembahan makyung. Selain itu, kerana subjek maruah atau harga diri yang mahu diangkat oleh Sabri Yunus,” jelas Swee Tin yang menambah, tawaran juga diterima kerana membaca skrip tulisan Sabri seperti beliau membaca naskhah novel.

“Walaupun tiada pengalaman berlakon filem, tetapi saya diberikan harapan. Selepas itu, saya mula membaca skrip. Dapatlah saya merasai pengalaman berlakon filem selama 15 hari di pelbagai lokasi siang dan malam, dan juga mencecah dini hari,” cerita Swee Tin yang memegang watak Jimmy Ang, lelaki Cina kelahiran Kelantan, mantan ketua kumpulan samseng yang bertatih meninggalkan dunia gelap, tetapi dihadapkan semula dalam kemelut baharu.

Saya sudah menonton Duan Nago Bogho. Walaupun tidak begitu banyak adegan beliau dan merupakan filem pertama, tetapi aksi Swee Tin nampak selesa. Itu barangkali kerana bimbingan Sabri dan pengalaman beliau tampil di pentas persembahan seni.

Filem tersebut mula ditayangkan di 80 buah pawagam di seluruh negara pada 19 Januari lalu. Duan Naga Bogho mengangkat kisah seorang anak seni tradisional Kelantan, mak yong, iaitu Duan (Asrul Faizal), yang juga pemeran makyung yang ada dua personaliti. Dia mencintai seni tradisional dan dalam masa yang sama, amat suka bergasak/bergaduh.

Kisahnya bermula selepas Duan bergaduh dengan beberapa orang penonton dalam sebuah persembahan makyung. Ketika itu dia sedang berlakon di atas pentas dalam persembahan tersebut. Akibatnya, Duan diminta oleh ayahnya meninggalkan kampung mencari pekerjaan lain.

Rakan Duan, iaitu Awi (Saidi Sabri) yang tinggal di Kuala Lumpur mengajaknya tinggal bersama-sama. Dia memberitahu Duan bahawa Kuala Lumpur boleh memberikan peluang lebih luas dalam bidang seni, termasuklah makyung. Awi merupakan pekerja seni bersama-sama Somad (Arjuna Sukma) yang cuba membawa seni Kelantan ke arah yang lebih maju.

Duan turut membantu Nancy (Jojo Goh), anak Jimmy Ang, mendalami ilmu makyung sehingga membawa konflik dalam kehidupannya apabila terlibat dengan samseng Paksu Ki (Sabri) dan Fendi Bukit Bintang (Datuk Rosyam Nor).

Menurut Swee Tin, selain Duan dan makyung, Jimmy Ang dan keluarganya menjadi titik penggerak Duan Nago Bogho. Secara tidak langsung, Jimmy terperosok ke dalam konflik dendam Fendi Bukit Bintang-Nancy @ Sherly (Jojo Goh).

“Pada peringkat awal, Jimmy Ang cuba bertenang, tetapi bertindak apabila anaknya, Nancy mula terancam,” kata Swee Tin yang ditawarkan oleh Sabri beraksi dalam supertele Tumpat Berdarah pula setelah menyelesaikan adegan-adegan yang melibatkannya selama kira-kira 15 hari.

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016). 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.