Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTangkak – Persatuan Pengkarya Dan Pencipta Seni Tinta karya (Tinta Karya) telah melancarkan tiga buah karya terbitan persatuan tersebut dan turut menjayakan Sambutan Kibar Jalur Gemilang Hari Kebangsaan 2023 di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, baru-baru ini.
Tiga buah buku yang dilancarkan adalah Antologi Pantun: Sesejuk Rimba Ledang, Antologi Puisi Kemerdekaan: Teguh Bersama dan Antologi Puisi Khas Sempena Festival Amazing Tangkak 2022: Tangkak Di Hati.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Tuan Sahrihan Jani, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir. Sewaktu merasmikannya, beliau menyatakan bahawa era dahulu, golongan penulis telah menggunakan mata pena untuk membangkitkan dan menyuntik semangat perjuangan serta nasionalisme dalam kalangan masyarakat. Jelas beliau;
Para penulis tidak jemu mencari dan mencanai idea untuk terus menulis.
Oleh itu, golongan muda yang menyambung kerja ini seharusnya mencontohi dan mengambil semangat penulis terdahulu agar karya yang dihasilkan terus memberikan impak kepada masyarakat.
Hadir sama menjayakan majlis adalah Pengerusi Tinta Karya, Datuk Ab Ghafar Nin; Penasihat Tinta Karya, Prof Madya Dr Zaleha Kassim dan pelajar Pra-Universiti Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir bersama-sama guru pengiring.
Datuk Ab Ghafar dalam ucapannya berkata, walaupun persatuan itu kecil tapi kejayaannya besar apabila berjaya menerbitkan lebih 20 buah buku sejak tertubuhnya persatuan ini. Ujarnya;
Tinta Karya menjadi wadah menghimpunkan para penulis dan mendokumentasikan karya.
Sementara itu, Prof Madya Dr Zaleha pula berkata Tinta Karya akan terus membentuk masyarakat yang berpengetahuan dan membina anak bangsa yang akan berjuang demi agama, bangsa, dan negara.
Majlis itu turut diserikan dengan nyanyian lagu patriotik sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 dan acara deklamasi puisi santai.
Pameran buku dan inovasi teknologi pertanian moden – Akuatani Sistem Menegak Tanpa Tanah turut diadakan.