Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Pelancaran buku Koleksi Puisi2 Sendu nukilan Razli Dalan, seorang doktor perubatan kanak-kanak kelahiran Kuantan, Pahang telah berlangsung di Galeri Seni Kokopelli at Templer pada 25 Mei lalu.
Beliau yang telah menetap di United Kingdom selama lebih 20 tahun memuatkan 13 buah sajak dalam karya baharunya yang diterbitkan oleh Sambalmee Productions pada tahun ini.
Menurut beliau, kesemua sajak dihasilkan dalam masa kurang lebih 27 tahun. Walaupun pada peringkat awal tidak bercadang untuk membukukan puisi tersebut, namun beliau kemudian terdorong untuk berbuat demikian.
“Saya juga memang meminati lukisan dan ilustrasi. Justeru, Koleksi Puisi2 Sendu ini juga sebenarnya adalah buku puisi berilustrasi,” ujar beliau yang kembali ke tanah air semata-mata untuk menghadiri majlis pelancaran buku tersebut.
Menjawab pertanyaan tentang “sendu”, beliau menjelaskan bahawa makna perkataan tersebut lebih luas ketimbang sedih.
“Sendu lebih luas maksudnya. Tidak semestinya merintih dan mendayu-dayu. Jika diteliti, diksi sajak saya sinis dan menyindir soal kehidupan dan kemanusiaan,” jelas beliau tentang inti pati Koleksi Puisi2 Sendu yang berharga RM75 senaskhah.
Tokoh veteran sinema tanah air, YBrs. Encik Hassan Muthalib dalam ucapannya dalam majlis itu menyatakan kekaguman terhadap YBrs. Dr. Razli kerana kreatif dan berjiwa seni walaupun berkerjaya dalam bidang perubatan.
Beliau turut berharap agar Dr. Razli akan terus bersajak dan menghasilkan filem pendek kedua selepas Haruan: The Snakehead.

Dalam masa yang sama, majlis pelancaran tersebut diserikan dengan persembahan daripada kumpulan muzik Satwo yang dianggotai oleh pasangan suami isteri, Rafiz dan Maz.
Mereka mendendangkan lagu Untuk Kita Hanya Kita, Sungai Peristiwa, Gelap dan Satu, serta Gurindam Apati yang diangkat daripada sajak karya Dr. Razli.

Dr. Razli sendiri turut membuat persembahan teaterikal sajak beliau berjudul “Sarkas-tika” sebagai pembuka majlis dan mendeklamasikan sajak berjudul “Kung” sebelum menutup tirai majlis.