Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPontian – Usia suku abad penganjuran program Pertemuan Sasterawan Malaysia membuktikan bahawa para sasterawan berupaya melalui rintangan dan liku dalam menghadapi pelbagai keadaan dan suasana termasuk hal ehwal politik.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa dan Penerangan Negeri Johor, YB Tuan Aznan Tamin, mewakili YAB Dato Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak Pertemuan Sasterawan Malaysia anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Yayasan Warisan Johor bertempat di Rumah Citra Sri Pinang, di sini petang semalam.
Beliau turut menyeru agar penulis, sasterawan dan budayawan bersama-sama membantu kerajaan seperti memberikan idea untuk pembangunan negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan, mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan sambutannya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor yang sentiasa memberikan sokongan dan dukungan terhadap usaha memartabatkan bahasa dan sastera dalam kalangan penulis termasuk kegiatan DBP, khususnya di negeri Johor.
“Kesungguhan Kerajaan Negeri Johor terserlah apatah lagi dengan pemberian tanah kurnia kepada DBP untuk pembinaan bangunan baharu DBP Wilayah Selatan.
“Kerjasama dalam pelaksanaan program ini telah menyemarakkan pelbagai program bahasa dan sastera dan kemuncak kepada kerjasama ini ialah Anugerah Sastera Johor, dan Kerajaan Negeri Johor adalah antara kerajaan negeri yang konsisten menghargai sumbangan para penulis, pemikir dan karyawan tempatan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan peruntukan khusus bagi menggiatkan lagi kegiatan bahasa dan sastera melalui DBP daripada dana yang telah disediakan, antaranya termasuklah Inisiatif Belanjawan, Dana Khas Membudayakan Bahasa dan Sastera, Dana Khas Sasterawan Negara, dan Dana Penerbitan Buku.
Ketua Satu Persatuan Penulis Johor merangkap Pengerusi Sambutan Jubli Perak, Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah pula berkata, beliau beriltizam akan terus memastikan PPJ melaksanakan tanggungjawabnya dalam usaha melahirkan penulis berwibawa negeri Johor.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor serta institusi yang sama kekal bekerjasama menjayakan program yang telah mencapai usia 25 tahun ini.
Katanya, kini PPJ mempunyai lebih 1000 orang ahli yang terdiri daripada kalangan pelbagai latar belakang seperti guru, karyawan dan golongan profesional, iaitu peguam, pensyarah dan doktor.
Pada majlis yang sama, sebanyak lima orang ahli PPJ telah menerima Anugerah Jubli Perak daripada YB Tuan Aznan Tamin, iaitu Tuan Haji Hamzah Hamdani, Tuan Syed Mohd Zakir Syed Othman, Tuan Haji Shapiai Mohd Ramly, Tuan Haji Dzulkarnain Ithnain, dan Amiruddin Md. Ali Hanafiah.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pegawai Daerah Pontian, YBhg. Tuan Haji Zainal Eran; YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Muhaimin Sulam; YBhg. SN Dato’ Rahman Shaari; Pengarah DBP Wilayah Selatan, Tuan Haji Mohd Riduwan bin Wahab; dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md. Yunus.
Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli