2 Mac 2024, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Sebanyak 20 karyawan dari Melaka dan 10 karyawan dari Johor menyertai lawatan menjejaki sejarah di Pulau Besar, Melaka, baru-baru ini.

Lawatan tersebut yang merupakan satu daripada aktiviti Program Jejak Pulau Besar bertujuan untuk menyediakan ruang bagi para karyawan menyelami kearifan tempatan yang dapat dijadikan bahan dan inspirasi untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu.

Menurut Pegawai Sains Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka, Encik Mohd. Azmir Izuan Zainal, Pulau Besar mempunyai sejarah yang istimewa apabila pada awalnya pulau ini menjadi tumpuan para pengunjung untuk mengadakan aktiviti ritual yang khurafat.

“Atas nasihat Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Mufti Melaka, kerajaan negeri bertindak menjenamakan semula Pulau Besar sebagai destinasi pelancongan yang mampu menjana ekonomi pembangunan negeri,” ujar beliau semasa menyampaikan taklimat pada permulaan lawatan.

Pegawai Sains Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka, Encik Mohd. Azmir Izuan Zainal (dua dari kanan) semasa memberikan taklimat kepada para peserta karyawan.

Selain melawat tempat bersejarah di sekitar pulau yang bersejarah itu, para peserta juga melaksanakan aktiviti kesukarelawanan seperti membersihkan persekitaran dan mengumpul bahan kitar semula.

Program Jejak Pulau Besar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) ini bertepatan dengan satu daripada teras Kajian Semula Pelan Strategik DBP 2021-2025, iaitu untuk mengadaptasikan program DBP dengan kegiatan sohor kini, termasuklah dalam bidang ekopelancongan.

Pulau Besar dipilih sebagai lokasi kajian lapangan bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 di samping faktor keunikan tapak warisan, sejarah dan budaya yang terdapat di pulau tersebut.

Program yang berlangsung pada 27 Februari 2024 hingga 29 Februari 2024 ini mendapat kerjasama erat daripada Persatuan Penulis Melaka (PENAMA) dalam usaha menyemarakkan dunia persuratan dan kebahasaan.

Antara aktiviti lain yang dianjurkan sepanjang program berlangsung termasuklah Bicara Sastera “Dari Hati Penulis Muda”, Bengkel Penulisan Karya Berimpak Tinggi dan Sesi Pemurnian Karya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.