20 Julai 2024, 20:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pontian Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, semua pihak perlu memperbanyak wacana yang memperkatakan tentang karya penulis tanah air untuk menghidupkan karya sastera dan mempertingkatkan penerimaan masyarakat terhadap karya sastera.

“Pada era tahun 1990-an, wacana sedemikian banyak dilaksanakan di universiti, namun memasuki alaf baharu keadaan ini beransur-ansur menjadi lesu,” katanya.

“DBP tidak boleh bersendirian untuk melaksanakan amanah mendaulatkan bahasa dan sastera kebangsaan ini.

“Badan serta pertubuhan bukan kerajaan merupakan rakan kerjasama amat penting untuk merealisasikan usaha ini agar dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan,” katanya.

Hasrat membumikan serta menyebarluaskan sastera kepada masyarakat ini jelas dalam isi ucapan yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari semasa merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Jubli Perak Pertemuan Sasterawan Malaysia anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, DBP, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), dan Yayasan Warisan Johor, siang tadi.

Menurutnya, DBP akan terus bersama-sama penulis dalam usaha mengangkat tamadun negara melalui bahasa dan sastera.

“Usaha persatuan penulis merupakan tenaga kepada sastera dan dibantu dengan prasarana oleh kerajaan melalui institusi yang berkaitan dengan pemartabatan ini seperti DBP.

“Selain itu, DBP juga akan terus melaksanakan usaha yang serius terhadap karya sastera terjemahan agar karya para penulis, khususnya sasterawan dapat diangkat ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain sastera terjemahan, DBP turut memperkasakan usaha pindah wahana karya sastera ke drama pentas, filem mahupun wahana lain bagi menyebarluaskan pemikiran besar penulis kepada masyarakat.

Program yang bermula pada 19 Julai 2024 ini tamat hari ini dengan muafakat resolusi, antaranya termasuklah melaksanakan program secara dwitahunan, mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, khususnya yang berkaitan dengan kedaulatan institusi raja-raja dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Resolusi ini akan memastikan Dasar Kesusasteraan Negara digubal bagi menentukan hala tuju dan jaminan kepada bidang kesusasteraan negara.

Majlis disempurnakan dengan penyampaian Resolusi Sambutan Jubli Perak Pertemuan Sasterawan Malaysia daripada Encik Amiruddin Md Ali Hanafiah kepada Dr. Hazami Jahari.

Penyampaian Resolusi Sambutan Jubli Perak Pertemuan Sasterawan Malaysia mengakhiri pertemuan bersejarah para sasterawan di Johor.

Kredit Foto: Adib Zulkifli

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.