Oleh Karmila Azmi
11 September 2023, 14:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Coimbatore – Penulis kelahiran Madurai, India, Yuvan Chandrasekar dinobat sebagai penerima Anugerah Sastera Vishnapuram 2023.

Anugerah itu yang akan diadakan pada 16–17 Disember nanti bakal disempurnakan oleh Pengarang Malaysia dan penerima Anugerah SEA Write 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir).

Yuvan Chandrasekar dikenali sebagai penulis dan penyair sastera Tamil yang tampil dengan aliran pascamoden. Beliau yang menulis puisi dengan nama M Yuvan selalu dirujuk sebagai penulis realisme magis.

Di India, Yuvan Chandrasekar dilihat sebagai sasterawan yang membuka ruang baharu dalam gerbang sastera apabila karya-karyanya kerap tampil menolak gaya konvensional pengarang Tamil.

Karya beliau terutamanya novel, kerap dicirikan dengan bahasa yang bertele-tele, bentuk yang tidak koheren dalam subteks, selain hujah yang tidak berpusat.

Sekretariat penganjur berkata, Anugerah Kesusasteraan Vishnapuram dimulakan sejak tahun 2010, diberikan kepada para pengarang Tamil di seluruh dunia yang memberi sumbangan signifikan dalam perkembangan sastera Tamil di seluruh dunia.

Sebelum ini pada tahun 2017, penulis Tamil dari Malaysia iaitu C. Muthusamy, pernah dinobatkan sebagai pemenang anugerah berprestij antarabangsa ini.

Yuvan Chandrasekhar juga turut diundang sebagai tetamu undangan dalam penganjuran Georgetown Literary Festival (GLTF) edisi 2023 yang dijangka akan berlangsung pada bulan November nanti.

Susulan itu, sebuah sesi forum secara dalam talian akan diadakan yang akan menampilkan beliau.

Sementara itu, majlis penganugerahan pada Disember nanti akan berlangsung di Coimbatore, India pada 16 hingga 17.

S.M. Zakir yang menerima penghormatan sebagai tetamu khas dijadualkan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang tahun ini.

Beliau turut diraikan apabila perbincangan mengenai karyanya turut diadakan. Dalam masa sama, karya terpilih S.M. Zakir turut diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil dan boleh diakses secara percuma oleh orang awam di laman web anugerah berkenan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.