Diterbitkan pada 19 Mac 2025, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

New Delhi – Sarjana terkemuka India, Gayatri Chakravorty Spivak baru-baru ini dianugerahi Hadiah Holberg 2025 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang falsafah dan teori sastera.

Spivak yang dianggap sebagai antara sarjana pascakolonial yang paling berpengaruh, terkenal dengan eseinya, “Can the Subaltern Speak?” yang menjadi asas dalam kajian pascakolonial dan terjemahannya terhadap karya tulisan Jacques Derrida, De la grammatologie (1967).

Beliau yang dilahirkan di Kolkata, India, pada 24 February 1942 merupakan alumni Universiti of Calcutta dan Universiti Cornell.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Holberg, Heike Krieger seperti laporan The Wire berkata, sebagai intelektual awam dan aktivis, Spivak memerangi buta huruf dalam kalangan komuniti luar bandar yang terpinggir di beberapa negara, termasuk di Bengal Barat, India.

Beliau telah menubuhkan, membiayai dan mengambil bahagian dalam inisiatif pendidikan. Bagi Spivak, kreativiti yang teliti mesti bersinggungan dengan inisiatif tempatan untuk menyediakan alternatif kepada kolonialisme intelektual.

Terdahulu pada 2012, Spivak telah dianugerahi Hadiah Kyoto dalam Seni dan Falsafah, manakala setahun selepas itu beliau dianugerahi Padma Bhushan oleh Kerajaan India.

Hadiah Holberg ialah penganugerahan antarabangsa yang diberikan setiap tahun oleh Kerajaan Norway bagi meraikan sarjana terampil dalam bidang seni, kemanusiaan, sains sosial, undang-undang, dan teologi.

Kredit Foto: Robert Crc/Wikipedia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi