Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDr. Raja Rajeswari Seetha Raman baru-baru ini dijemput sebagai tetamu kehormat dalam Festival Sastera Toshali 2025 di Bhubaneswar, Odisha, India. Beliau merakamkan pengalaman unik beliau di sana.
Pembiayaan daripada lapan institusi kewangan, Yayasan Udaygiri serta pihak lain ialah bukti bahawa cinta dan setia akan bahasa, budaya, sastera, warisan suku kaum, dan warisan kebangsaan Odisha masih tekal dan kekal dalam era digital dan Revolusi Industri 4.0.
Odisha atau lebih dikenali sebagai Kalinga pada zaman silam terletak di bahagian timur India. Negeri ini memiliki suku kaum asli yang paling tinggi di negara India. Sebanyak 64 suku kaum bertutur dalam 74 dialek saban hari. Komuniti asli ini tekal melestarikan dialek mereka dalam bentuk lisan, tulisan dan larik puisi. Keunikan ini yang menjadikan Festival Sastera Toshali 2025, yang berlangsung di tempat peranginan The Ranch Resort di Odisha ada daya tarikan yang tersendiri.
Tahun ini, penulis mendapat penghormatan sebagai tetamu kehormat untuk menyertai Festival Sastera Toshali selama dua hari di Bhubaneswar, Odisha. Sesungguhnya, kunjungan dan penyertaan penulis dalam festival sastera berprestij anjuran anak negeri Odisha telah meluaskan horizon tafsiran bahawa acara sastera boleh dilaksanakan dengan jayanya jika ada keinginan dan kemahuan yang tinggi dalam diri pencinta sastera, bak kata pepatah Melayu “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”

Sesuatu yang baharu dan belum pernah penulis lihat di mana-mana negara yang pernah penulis kunjung untuk festival sastera ialah sumbangan dana untuk menjayakan festival sastera dibiayai sepenuhnya oleh anak watan yang bermastautin di luar negara. Sumbangan besar dana untuk festival ini turut disumbangkan oleh institusi kewangan atau bank yang berpusat di Odisha, Lembaga Perumahan Negeri Odisha, Jabatan Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Odisha, Perkhidmatan Teknologi Maklumat Sdn. Bhd., badan korporat tempatan, tokoh usahawan tempatan, dan Yayasan Udaygiri.
YBrs. Encik Paresh Kumar Pattnaik, Pengarah Festival Toshali yang memiliki Penerbitan Shalandi telah berganding bahu dengan Penasihat Festival, YBrs. Encik Pradeep Kumar Biswal, Ahli Pihak Berkuasa Kawal Selia Hartanah Odisha dan Presiden Yayasan Udaygiri, YBrs. Encik Jay Jagdev merangkap kurator untuk menjayakan Festival Sastera Toshali dalam skala besar di sebuah kawasan peranginan mewah nan indah.
Ketiga-tiga tokoh tersebut menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan Festival Sastera Toshali 2025. Kejayaan mereka mendapatkan dana daripada pihak bank, yayasan, Lembaga Perumahan Negeri, Jabatan Bahasa, Sastera, Budaya, badan korporat dan usahawan di Odisha memudahkan pihak penganjur untuk menanggung segala perbelanjaan, termasuklah penginapan, makan minum sebanyak empat kali sehari serta penerbitan Antologi Puisi Toshali 2025. Dengan perkataan lain, tiada yuran penyertaan dikenakan untuk menyertai festival ini, malah buku Antologi Puisi Toshali 2025 diedarkan secara percuma kepada semua penyair yang menyumbang karya mereka serta sesiapa sahaja yang berminat untuk menyelami larik-larik puisi penyair dalam antologi tersebut.
Pembiayaan daripada lapan institusi kewangan, Yayasan Udaygiri serta pihak lain ialah bukti bahawa cinta dan setia akan bahasa, budaya, sastera, warisan suku kaum, dan warisan kebangsaan Odisha masih tekal dan kekal dalam era digital dan Revolusi Industri 4.0. Lantunan bait-bait puisi dalam bahasa suku kaum semasa sesi Baca Puisi Pelbagai Bahasa dan tayangan filem tentang masyarakat orang asli menzahirkan hasrat untuk mempertahankan suara suku kaum Odisha.

Sikap patriotik terhadap warisan kebangsaan terserlah ketika pelancaran laman sesawang dua hari sebelum berlangsungnya Festival Sastera Toshali. Penulis mendapat penghormatan untuk melancarkan laman sesawang mereka di Hotel Presidency, tempat penulis menginap selama lapan hari. Bahasa yang digunakan sepenuhnya semasa majlis pelancaran platform digital tersebut ialah bahasa Odia, bahasa rasmi Odisha yang sebelum ini digelar sebagai bahasa Oriya. Hanya melalui edaran risalah dalam bahasa Inggeris baru penulis memahami perjalanan acara tersebut. Penulis tidak sama sekali berasa hampa, sebaliknya kagum dengan semangat warga Odisha yang meletakkan daulat bahasa rasmi mereka pada tahap gemilang, sesuatu yang wajar kita teladani.
Lebih membahagiakan jiwa apabila semua pengarang dan penyair yang hadir untuk majlis pelancaran laman sesawang menceritakan pengalaman dan kejayaan mereka dalam mempromosikan bahasa, sastera dan budaya Odisha di luar Odisha, mengikut cara mereka tersendiri, baik dalam kalangan pelajar sekolah atau siswa siswi di pusat pengajian tinggi. Pengarang Odisha yang bermastautin di Amerika Syarikat turut berkongsi kaedah mempopularkan bahasa suku kaum Odia melalui platform digital dan portal.
Kolaborasi usaha dan tenaga dengan tidak membabitkan kewangan agak popular di luar negara.
Saban tahun, seorang pengarang prolifik kelahiran Odisha dinobatkan sebagai sasterawan dan pada tahun 2025, Anugerah Sastera Kebangsaan Jayanta Mahapatra dengan ganjaran sebanyak 50,000 Rupee. Vinita Agrawal, pengarang sepenuh masa, menjadi penerima anugerah tersebut pada tahun ini. Anugerah Jayanta Mahapatra sama tarafnya dengan Anugerah Sastera Negara di Malaysia. Setiap tahun, seorang pengarang akan menderma 50,000 Rupee secara ikhlas (tahun ini, seorang pengarang yang bermastautin di Amerika Syarikat menyumbang) demi menjayakan anugerah ini. Nama pemenang dan nama para juri juga telah mendapat liputan dalam akhbar Odisha Plus pada 11 Januari 2025, yakni tiga minggu sebelum penobatan secara rasmi untuk mengelakkan peristiwa “rumah sudah siap, pahat masih berbunyi”.

Peserta Festival Sastera Toshali 2025 turut berpeluang menyaksikan pelancaran dua buah buku puisi, yakni Metamorfosis, puisi penyair tersohor Odisha, Pradeep Biswal, yang penulis terjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan kumpulan puisi penulis yang diterjemahkan ke dalam bahasa Odia oleh pensyarah dan pengarang Dr. Pragyan Prabartika Dash. Kedua-dua buku tersebut diterbitkan oleh Penerbitan Shalandi, milik Paresh Kumar Pattnaik, Pengarah Festival Sastera Toshali 2025.
Kolaborasi usaha dan tenaga dengan tidak membabitkan kewangan agak popular di luar negara. Melalui kerjasama antara penyair Malaysia dengan penyair Odisha, bahasa Melayu mudah tersebar di Odisha dan budaya Odisha dapat dihayati oleh pembaca Malaysia. Kerjasama antara penyair dari dua negara berbeza mempercepat penyebaran bahasa dan sastera kebangsaan. Bahasa Melayu wajar melintas sempadan bahasa, bangsa dan budaya agar terus relevan dalam era digital.
Dalam sesi Baca Puisi Pelbagai Bahasa, penulis mendeklamasikan puisi pentas berjudul “Merdeka Sesudah Enam Dasawarsa” yang dicipta untuk Hiburan TV RTM sempena sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-67 tahun lalu. Bacaan penulis mendapat tepukan gemuruh daripada peserta kerana puisi pentas memiliki keunikan tersendiri kerana dicipta untuk penghayatan audiens di pentas.
Akhir kata, berkunjung ke Odisha dan menyertai festival sastera di sana telah
mengubah perspektif penulis bahawa tiada dana bukanlah alasan untuk tidak menganjurkan sebarang festival sastera kerana dana boleh diusahakan jika ada kemahuan. Kita memiliki institusi kewangan yang bukan sedikit, usahawan dan dermawan yang tidak kurang dari segi jumlah dan badan korporat yang bukan sedikit. Jalinan kerjasama boleh membuahkan hasil jika ada komitmen yang konsisten dan penggerak yang jujur.
Justeru, sama-samalah kita memperkaya dan mempopularkan persuratan kebangsaan kita mengikut kemampuan kendiri, sama ada melalui penterjemahan, penyelidikan, pembangunan portal, atau kolaborasi dengan pihak luar agar warisan kebangsaan kita subur dan mekar zaman-berzaman. Melonjakkan kegemilangan sastera kebangsaan ke harkat terhormat dalam peta sastera dunia ialah tanggungjawab setiap individu yang bernafas di bumi bernama Malaysia.
______________________________
Raja Rajeswari Seetha Raman (Dr.) pernah menerima 17 hadiah dan anugerah pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Puisinya diterjemahkan ke dalam 41 bahasa dunia. Perjalanan seninya dijadikan dokumentari oleh Filem Negara Malaysia pada tahun 2009 dan 2012. Pada tahun 2014, beliau mendapat penghormatan sebagai Ikon Bulan Bahasa Kebangsaan dan pada tahun 2020 sebagai Women of the Year by MWAW (Malaysian Women at Work). Dalam bidang penterjemahan kreatif, pernah menerima pingat penghargaan daripada Gujerat Sahitya Academy, India, atas pencapaian cemerlang dalam penterjemahan dan sastera dunia.