29 November 2022, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Pemenang Hadiah Booker Antarabangsa 2022, Geetanjali Shree, akhirnya menerima pingat Hadiah Booker Antarabangsa beliau yang “sebenar” di George Town Literary Festival, kelmarin. Pingat itu disampaikan oleh rakan penterjemahnya sendiri, Daisy Rockwell dalam sebuah sesi wacana bersempena festival sastera antarabangsa itu.

Sebelum menyampaikan pingat, Daisy Rockwell berkongsi, “Ketika hari penganugerahan, setelah saya dan Geetanjali menerima hadiah dan menyampaikan ucapan, pingat yang kami terima itu diambil kembali oleh pihak penganjur.

“Mereka berbuat demikian untuk mengukir nama kami pada pingat itu. Jadi, sejak hari itu hingga ke hari ini, saya dan Geetanjali Shree belum dapat memegang pingat itu di tangan,” ujar beliau.

Kenyataan dan momen bersejarah itu dirakamkan melalui sesi perkongsian pengalaman antara Geetanjali Shree dengan Daisy Rockwell perihal kepengarangannya dalam menghasilkan dan menterjemahkan Tomb of Sand, atau tajuk asalnya, Ret Samadhi anjuran George Town Literary Festival.

Kedua-duanya, pengarang dan penterjemah, menjelaskan cara kerja penterjemahan Tomb of Sand yang akhirnya membuahkan sebuah karya yang memenangi hadiah antarabangsa berprestij itu. Novel itu turut mencatat sejarah apabila menjadi novel Hindi pertama yang memenangi Hadiah Booker Antarabangsa.

“Saya memaksa Geetanjali untuk memberikan saya karya-karya yang sukar untuk diterjemahkan. Tomb of Sand ialah karya itu,” ujar Rockwell.

Rockwell sendiri merupakan seorang bekas pensyarah yang amat pakar dalam kesusasteraan India, khususnya kesusasteraan Hindi. Beliau juga mengikuti karya sastera Hindi dalam bahasa aslinya sejak kanak-kanak lagi.

Di sebalik cabaran itu, kedua-dua panel turut mengakui, atas sebab kedua-duanya berkongsi sentimen dan sikap dalam banyak perkara, karya itu akhirnya dapat diterjemahkan dengan kesesuaian yang tepat dan mempesona.

Shree berkongsi, “Saya dan Daisy mempunyai persamaan dalam pelbagai perkara. Kami nikmati kebahagiaan yang sama, humor yang sama, malah berkongsi pelbagai kecenderungan lain.”

Sebelum ditamatkan sesi perkongsian itu, Rockwell akhirnya mendedahkan dan menyampaikan pingat hadiah berkenaan – yang telah terukir nama Geentajali Shree – kepada pengarang India itu bersaksikan khalayak awam dan peserta festival yang ada.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.