Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLondon – Kepelbagaian suara sastera dunia kembali diraikan apabila Booker Prize Foundation mengumumkan senarai panjang International Booker Prize 2026, yang membariskan 13 karya fiksyen antarabangsa dalam terjemahan dalam bahasa Inggeris.
Jumlah itu dipilih daripada 128 novel dan koleksi cerpen yang diterjemahkan serta diterbitkan di United Kingdom dan/atau Ireland di antara bulan Mei 2025 hingga April 2026.
Pengerusi panel juri tahun ini, penulis Britain Natasha Brown berkata, banyak karya yang dipertimbangkan meneliti kesan peperangan terhadap individu dan masyarakat.
“Walaupun tema peperangan jelas ketara dalam beberapa judul terpilih, senarai yang diumumkan ini turut merangkumi pelbagai latar dan isu lain,” katanya.
Brown berkata, judul yang terpilih bukan sahaja mengangkat konflik bersenjata, malah memaparkan pertelingkahan kecil antara jiran, kampung pergunungan yang misteri, konspirasi syarikat farmaseutikal besar, wanita berunsur mistik, percintaan yang berakhir tragis, penjara berhantu, serta rujukan filem yang jarang-jarang diketahui umum.
Daripada 13 judul yang disenaraikan, 11 naskhah ditulis dalam bahasa berbeza, termasuk Bulgaria, Denmark, Mandarin, dan Sweden, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya dan geografi yang luas.
Daripada jumlah itu, tiga ialah karya pertama. Agak menarik juga, dua daripada judul yang tersenarai diterbitkan pertama kalinya dalam bahasa asal lebih 30 tahun lalu. Salah satu daripadanya diharamkan di Iran dan ditulis oleh seorang penulis yang sebelum ini pernah dipenjarakan susulan penulisannya.
Berikut ialah senarai penuh 13 judul yang tersenarai dalam senarai panjang tahun ini:
Daripada senarai itu, antara yang turut menjadi perhatian ialah Women Without Men karya Shahrnush Parsipur, pertama kali diterbitkan pada tahun 1989 dan diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris oleh Penguin Books tahun ini.
Hadiah Booker Antarabangsa terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pentas utama memperkenalkan karya sastera dunia kepada pembaca global, selain mengiktiraf peranan penting penterjemah yang merentas sempadan bahasa dan budaya.
Pengiktirafan ini menawarkan hadiah wang tunai £50,000 (RM 262,727.15) yang dibahagikan sama rata antara penulis dengan penterjemah.
Enam finalis akan diumumkan pada 31 Mac, manakala pemenang bakal dinobatkan dalam satu majlis di London pada 19 Mei ini.