Oleh Karmila Azmi
19 April 2024, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Yi Jino, berusia pertengahan lima puluhan yang diberhentikan kerja kerana kelicikan majikannya yang berpura-pura muflis bagi menamatkan operasi.

Dia cuba berunding bersama-sama rakan lain bagi mengubah keputusan majikan, dan dari situ kita mula dibawa mengembara untuk melihat sejarah pembangunan Korea Selatan itu sendiri pada zaman kontemporari.

Mungkin adegan begini sudah biasa ditemui oleh penggemar drama K-Pop, namun di tangan Hwang Sok-Yong, naratif Mater 210, menjadi luar biasa, apatah lagi apabila naskhah itu berada dalam senarai pendek Hadiah Booker Antarabangsa 2024, seperti yang diumumkan minggu lalu.

Novel kesembilan pengarang kelahiran Changchun, China sebelum keluarganya berpindah ke Korea Selatan pada 1945, diterjemahkan oleh Sora Kim-Russell.

Berbanding pengiktirafan sastera yang lain, Hadiah Booker Antarabangsa sentiasa mendapat perhatian penggemar sastera kerana memberikan ruang kepada naskhah terjemahan.

Selain Mater 2–10, novel lain yang turut diumumkan dalam senarai pendek minggu lalu adalah Not a River tulisan pengarang Argentina, Selva Almada (terjemahan Annie McDermott); Kairos oleh pengarang Jerman, Jenny Erpenbeck (terjemahan Michael Hofmann); dan The Details oleh pengarang Sweden, Ia Genberg (terjemahan Kira Josefsson).

Melengkapkan senarai pendek, seterusnya ialah What I’d Rather Not Think About oleh pengarang Belanda, Jente Posthuma (diterjemahkan oleh Sarah Timmer Harvey) dan Crooked Plow, terbitan Verso Fiction oleh pengarang Brazil, Itamar Vieira Junior (diterjemahkan oleh Johnny Lorenz).

Kesemua judul ini dipilih daripada 13 naskhah yang berada dalam senarai panjang dan pemenang akan diumumkan pada 21 Mei 2024.

Hadiah Booker Antarabangsa 2024 menawarkan habuan bernilai Hadiah £50,000 yang akan dibahagikan kepada £25,000  untuk penulis dan £25,000 untuk penterjemah.

Sejak penerima pertamanya dinamakan pada tahun 2005 (dan sehingga tahun 2015), anugerah ini hanya diberikan setiap dua tahun sekali.

Walau bagaimanapun, hadiah sastera ini kekal membina prestijnya yang tersendiri, menjadi pengiktirafan terkemuka dunia dalam kelasnya.

Pengiktirafan ini  menjadi inspirasi bagi anugerah-anugerah seumpamanya, termasuk kategori Kesusasteraan Terjemahan Hadiah Buku Kebangsaan Amerika Syarikat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.