Oleh Karmila Azmi
24 Mei 2023, 11:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Naskhah yang mengangkat kisah kerapuhan masa lalu, Time Shelter tulisan pengarang Bulgaria, Georgi Gospodinov, 55, dinamakan sebagai pemenang Hadiah Booker Antarabangsa 2023, malam tadi.

Novel itu yang terbit kali pertama dalam bahasa Bulgaria diterjemahkan oleh Angela Rodel.

Ketua Juri, novelis Perancis, Leila Slimani berkata, novel itu cemerlang dan dipenuhi dengan unsur ironi serta melankolik.

“Novel pemenang ini sebuah karya yang sangat mendalam dalam menangani soalan kontemporari dan juga soalan falsafah: apa yang akan berlaku kepada kita apabila ingatan kita mula hilang?

Novel ini juga sebuah novel hebat tentang Eropah, sebuah benua yang memerlukan masa depan, di mana masa lalunya dicipta semula dan nostalgia juga boleh menjadi racun,” katanya.

Time Shelter secara ringkas berkisarkan sebuah klinik yang menawarkan sebuah perkhidmatan eksperimen yang membawa pesakit Alzheimer ke masa lalu mereka. Kejayaan eksperimen itu menyebabkan klinik tersebut menjadi tumpuan mereka yang sihat, terutamanya orang berada untuk lari daripada kehidupan dunia moden.

Gospodinov ialah salah seorang pengarang yang karyanya paling banyak diterjemahkan di Bulgaria. Time Shelter sebelum ini turut memenangi Hadiah Sastera Terjemahan Strega bagi sastera Itali.

Selain Slimani, juri yang dilantik mengadili pengiktirafan tahun ini termasuklah pengarang Malaysia, Tan Twan Eng; penterjemah Ukraine, Uilleam Balcker; wartawan New Yorker, Parul Sehgal; dan Editor Sastera Financial Times, Frederick Studemann.

Kemenangan itu membolehkan Gospodinov memenangi £50 ribu (RM246 982) yang dibahagikan sama rata antara pengarang dengan penterjemah.

Hadiah Booker Antarabangsa dianugerahkan setiap tahun untuk karya fiksyen terbaik dari seluruh dunia yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di United Kingdom dan Ireland.

Kredit Foto: Facebook The Booker Prizes

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.