Oleh Karmila Azmi
19 April 2023, 10:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Enam novel daripada enam negara dinamakan dalam senarai pendek Hadiah Booker Antarabangsa 2023 seperti diumumkan semalam.

Pemilihan itu menyaksikan penganugerahan kali ini menampilkan pelbagai tema, misalnya Boulder tulisan pengarang dari Sepanyol, Eva Baltasar, yang diterjemahkan oleh Julia Sanches ialah karya berbaur erotik mengenai pasangan kekasih di Ireland yang berhadapan dengan cabaran sewaktu memutuskan untuk mempunyai anak.

Satu lagi karya yang banyak diperkatakan media ialah The Gospel According to the New World tulisan penulis Perancis, Maryse Condé (terjemahan Richard Philcox). Naskhah ini dilihat sebagai saingan terkuat apatah lagi Condé dianggap pengarang berprofil tinggi yang kerap disebut-sebut sebagai calon penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan.

Dua novel itu adalah antara enam naskhah yang diumumkan semalam sempena Pesta Buku London 2023.

Empat lagi naskhah yang disenaraikan termasuklah Whale karya penulis Korea Cheon Myeong-Kwan (terjemahan oleh Chi-Young Kim); Standing Heavy oleh penulis Ivory Coast, GauZ’ atau nama sebenarnya, Patrick Armand-Gbaka Brede (terjemahan Frank Wynne); Time Shelter oleh penulis Bulgaria, Georgi Gospodinov (terjemahan Angela Rodel), dan Still Born oleh penulis Mexico, Guadalupe Nettel (terjemahan Rosalind Harvey).

Hadiah Booker Antarabangsa dianugerahkan kepada naskhah fiksyen terjemahan ke dalam bahasa Inggeris yang dikendalikan oleh Yayasan Hadiah Booker. Hadiah ini diberikan kepada karya yang dianggap terbaik oleh juri dilantik bagi tahun penilaian.

Selain dibuka kepada semua penulis, hadiah ini tidak terhad kepada novel sahaja tetapi turut menerima kumpulan cerpen.

Pemenang utama akan menerima £50 ribu yang dibahagi dua antara pengarang dengan penterjemah. Bagi naskhah yang disenarai pendek, setiap karya menerima £5000 ribu (£2500 untuk pengarang dan £2500 untuk penterjemah).

Leïla Slimani, novelis Maghribi ialah pengerusi panel penilai tahun ini. Dalam sidang akhbar yang dibuat dalam talian semalam, Slimani menyebut, karya yang disenarai pendek kali ini hampir semuanya berani, subversif, sangat songsang – terdapat sesuatu yang licik yang diperkatakan.

“Selain itu, naskhah yang terpilih ‘sangat sensual’ sambil menyoal naratif dan maksud menulis novel pada zaman ini,” katanya.

Pemenang utama akan diumumkan pada 23 Mei nanti.

Selain Slimani, juri kali ini termasuklah pengarang Malaysia, Tan Twan Eng, Uilleam Blacker, Parul Sehgal, dan Frederick Stüdemann.

Kredit Foto: Facebook The Booker Prizes

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.