Oleh Karmila Azmi
12 Mac 2024, 16:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hadiah Booker Antarabangsa 2024 mengumumkan senarai panjangnya yang menyaksikan satu perempat daripada senarai itu ditulis oleh pengarang Amerika Selatan, iaitu masing-masing mewakili negara Brazil, Argentina, Peru, dan Venezuela.

The Booker Prizes dalam laman webnya menyebut, empat daripada 13 judul dalam senarai panjang itu ialah Not a River oleh Selva Almada, (terjemahan oleh Annie McDermott); Crooked Plow oleh Itamar Vieira Junior, (Johnny Lorenz); Undiscovered oleh Gabriela Wiener (Julia Sanches); dan Simpatía oleh Rodrigo Blanco Calderón, (Noel Hernández González dan Daniel Hahn).

Tidak kurang menyengat ialah A Dictator Calls oleh novelis Albania, Ismail Kadare yang diterjemahkan oleh John Hodgson. Ismail ialah pemenang Hadiah Booker Antarabangsa 2005.

Benua Asia pula diwakili oleh naskhah Mater 2-10 tulisan novelis Korea Selatan Hwang Sok-yong, yang diterjemahkan oleh Sora Kim-Russell dan Youngjae Josephine Bae.

The Booker Prizes dalam kenyataannya menyebut, walaupun sesetengah pengarang dan karya mereka mungkin tidak dikenali oleh pembaca berbahasa Inggeris, namun sebahagiannya ialah nama besar dalam landskap penulisan negara masing-masing.

“Sebilangan buku menonjolkan perjuangan individu dan minoriti dalam menghadapi penindasan.

“Kebanyakannya berkitar mengenai sejarah, kebaikan peribadi mahupun kebangsaan, selain hal-hal berkaitan komunisme di Eropah Timur, warisan perhambaan dan kecurian tanah di Brazil, selain kisah mengenai pemerintahan diktator tentera di Korea,” katanya.

Judul lain yang turut berada dalam senarai termasuklah Kairos oleh Jenny Erpenbeck, terjemahan oleh Michael Hofmann; The Details oleh Ia Genberg (Kira Josefsson); White Nights oleh Urszula Honek (Kate Webster); The Silver Bone oleh Andrey Kurkov (Boris Dralyuk); What I’d Rather Not Think About oleh Jente Posthuma (Sarah Timmer Harvey); Lost on Me oleh Veronica Raimo (Leah Janeczko); dan The House on Via Gemito oleh Domenico Starnone (Oonagh Stransky).

Pemilihan judul ini dibuat daripada 149 naskhah yang dihantar oleh penerbit kepada sekretariat. Naskhah awalnya diterbitkan dalam 32 bahasa dengan sebuah daripadanya merupakan terbitan semula daripada naskhah asal yang terbit 50 tahun lalu.

Pemenang akan diumumkan pada 21 Mei 2024 yang menyaksikan pengarang dan penterjemah akan berbahagi hadiah bernilai £50,000, manakala pengarang dan penterjemah setiap tajuk yang disenarai pendek akan berkongsi £5,000.

Kredit Foto: The Booker Prizes

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.