Oleh Karmila Azmi
12 April 2022, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Pengarang wanita mendominasi senarai pendek Hadiah Booker Antarabangsa 2022 menerusi lima daripada enam judul yang terpilih.

Laman rasmi Hadiah Booker membariskan Olga Tokarczuk menerusi naskhah The Books of Jacob yang diterjemahkan daripada bahasa Poland oleh Jennifer Croft; Bora Chung (Cursed Bunny) yang diterjemahkan daripada bahasa Korea oleh Anton Hur; Geetanjali Shree (Tomb of Sand) diterjemahkan daripada Hindi oleh Daisy Rockwell; Claudia Piñeiro (Elena Knows) terjemahan daripada bahasa Sepanyol oleh Frances Riddle; dan Mieko Kawakami (Heaven) terjemahan daripada bahasa Jepun oleh Samuel Bett dan David Boyd.

Seorang lagi yang turut berada dalam senarai pendek ialah Jon Fosee menerusi naskhah, A New Name: Septology VI-VII yang diterjemahkan daripada bahasa Norway oleh Damion Searls.

Pemenang Hadiah Booker Antarabangsa 2022 akan diumumkan di London pada 26 Julai nanti. Pengarang dan penterjemah yang menang akan menerima £50 ribu yang dibahagikan sama rata antara kedua-duanya, manakala setiap pengarang dan penterjemah yang disenarai pendek menerima £2500.

Hadiah Booker Antarabangsa diberikan setiap tahun kepada karya terjemahan ke dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan di United Kingdom dan Ireland. Anugerah ini dimulakan pada tahun 2005 dengan jenama Hadiah Man Booker Antarabangsa dan diadakan secara dwitahun.

Sejak tahun 2015, hadiah ini membuka penyertaan kepada mana-mana penulis yang menerbitkan karya mereka di United Kingdom dan Ireland tanpa had warganegara. Mulai tahun 2019, anugerah ini dikenali sebagai Hadiah Booker Antarabangsa selepas penaja utama konsortium Man menarik diri.

Anugerah berprestij ini diadakan dengan tujuan untuk menggalakkan lebih banyak pembacaan fiksyen berkualiti dari seluruh dunia. Barisan pemenangnya juga tidak dihadkan kepada novel tetapi juga kumpulan cerpen.

Tonton komentar senarai pendek rasmi Hadiah Booker Antarabangsa 2022 di sini.

Kredit Foto: Facebook The Booker Prizes

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.