Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jika tidak kerana naskhah 單車失竊記 (The Stolen Bicycle) atau Basikal Curi, mungkin ramai yang kurang mengenali Wu Mung-Yi, penulis kelahiran tahun 1971 yang menempatkan namanya sebagai pengarang Taiwan pertama berada dalam senarai panjang The Man Booker Prize 2018.
Meskipun tidak menambat hati juri, tetapi Mung-Yi memaut hati ramai pembaca dan penterjemah. Sejak diterbitkan dalam bahasa Mandarin pada tahun 2015, Basikal Curi sudah diterjemah hampir ke dalam 10 bahasa dan terkini diterjemahkan kepada bahasa Melayu.
Kisah penterjemahan naskhah itu bermula dengan Darrly Sterk, yang kemudiannya membuka ruang kepada pembaca antarabangsa bukan saja mengenali sastera Taiwan tetapi sejarah negara itu yang kurang diketahui umum.
Ming-Yi yang dijemput membicarakan novel berkenaan yang sudah diterjemahkan kepada bahasa Melayu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 baru-baru ini berkata, Basikal Curi dihasilkan daripada fragmen pengalaman dan sejarah keluarganya sendiri.
Katanya, ibunya tidak tahu mengenai kehidupan ayahnya selama lelaki itu berada di Jepun. Namun, penemuan dokumen dan foto lama menatijahkan jawapan.
“Saya menemukan gambar sekumpulan remaja Taiwan berusia sekitar 13 hingga 14 tahun yang dihantar ke Jepun ketika zaman penjajahan.
“Kumpulan ini terlibat secara langsung dalam penghasilan pesawat pejuang yang digunakan oleh tentera Jepun,” katanya dalam acara yang dimudahcarakan oleh pensyarah Universiti Malaya, Dr. Florence Kuek Chee Wee dengan bantuan terjemahan oleh penterjemah bebas, Lee Hao Jie.
Ming-Yi berkata, fakta lebih menarik yang ditemukan ialah tenaga di sebalik pesawat tempur Raiden yang selalu dikaitkan dengan kedudukan dan kepentingan tentera Jepun datang daripada sekumpulan pemuda Taiwan.
Menurut Ming-Yi, cerita mengenai golongan pemuda Taiwan yang dihantar ke Jepun semasa era perang tidak banyak diperkatakan kerana mereka berada di persimpangan dua sejarah yang berbeza.
Di Jepun, sumbangan mereka jarang-jarang diberikan perhatian, manakala di Taiwan pula, naratif tersebut sering terpinggir akibat perdebatan berkaitan identiti nasional dan legasi penjajahan.

Beliau berkata, pemahamannya terhadap sejarah itu bertambah selepas melakukan pembacaan mendalam terhadap pelbagai sumber dan karya yang mendokumentasikan pengalaman generasi berkenaan.
“Pencarian itu membawa saya mengunjungi beberapa lokasi bersejarah, termasuk tapak tugu peringatan yang didirikan bagi menghormati ribuan pemuda Taiwan yang dihantar ke Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
“Berdasarkan rekod yang ditemui, sekitar 8,000 anak muda Taiwan direkrut untuk bekerja dalam sektor pembuatan pesawat pejuang bagi menyokong operasi ketenteraan Jepun.
“Selepas perang berakhir, nasib mereka berbeza-beza apabila ada yang terus menetap di Jepun, ada yang pulang ke Taiwan dan sebahagian lagi memilih untuk memulakan kehidupan baharu di China,” katanya.
Kata Ming-Yi, walaupun menjadi sebahagian daripada sejarah perang di Asia Timur, pengalaman hidup golongan tersebut jarang-jarang mendapat tempat dalam naratif sejarah arus perdana. Atas sebab itu, beliau memilih untuk mengangkat kisah mereka melalui karya fiksyen.
Basikal Curi yang diterbitkan oleh IBDE menyorot kisah mengenai Cheng, seorang penulis yang cuba menyingkap misteri kehilangan basikal milik bapanya. Namun begitu, pencarian itu akhirnya membawanya jauh melangkaui persoalan tentang sebuah objek yang hilang.
Semakin mendalam Cheng menelusuri jejak masa lalu, semakin banyak kisah yang terungkai tentang perang, keluarga, memori, dan manusia yang pernah melalui zaman penuh pergolakan. Basikal yang pada mulanya sekadar menjadi petunjuk kepada kehilangan bapanya bertukar menjadi simbol yang menghubungkan pengalaman peribadi dengan sejarah yang lebih besar.
Naskhah ini dihasilkan dengan gaya penceritaan yang kaya dengan unsur sejarah dan renungan, selain membawa pembaca menyelami hubungan antara ingatan dengan identiti, sambil memperlihatkan bagaimana objek biasa seperti basikal mampu menyimpan kisah kehidupan yang tidak pernah benar-benar hilang ditelan waktu.