Diterbitkan pada 17 April 2025, 14:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Novel tulisan Ruhaini Matdarin, Hari-Hari Terakhir di Jesselton (The Last Days of Jesselton) disenaraipendekkan untuk pusingan pertama PEN Presents x International Booker Prize.

Novel itu yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, diterjemahkan oleh Pauline Fan, adalah sebahagian daripada program geran terjemahan English PEN dan Yayasan Hadiah Booker.

Hal ini merupakan kali pertama program geran terjemahan English PEN membabitkan karya asal dalam bahasa Melayu, Filipina dan Cebuano.

Selain Ruhaini, satu lagi novel tulisan pengarang Malaysia, Storied Ruins tulisan Teng Kuan Kiat turut tersenarai. Novel itu ditulis dalam bahasa Mandarin dan diterjemahkan oleh YZ Chin.

Dua judul berkenaan adalah sebahagian daripada 12 karya dalam sembilan bahasa dari sembilan wilayah dan membabitkan 13 penterjemah yang diumumkan oleh English PEN dan Yayasan Booker Prize .

Program terjemahan ini menarik perhatian umum kerana beberapa judul yang diumumkan seperti dari Malaysia, Palestin dan Filipina ialah penampilan kali pertama dalam satu pusingan program geran English PEN.

Program penterjemahan itu yang dilancarkan sejak tahun 2024 dibuat atas kesedaran untuk menangani ketidakseimbangan “suara bercerita” supaya lebih banyak karya terjemahan dapat sampai kepada pembaca bahasa Inggeris.

Sebelum ini, meskipun penyertaan dari seluruh pelosok dunia semakin meningkat, hasil karya kerap membawa cerita yang sama.

Justeru menerusi program ini, semua yang berminat dijemput untuk mengemukakan cadangan bagi menghasilkan terjemahan yang belum pernah diterjemahkan sebelum ini daripada mana-mana pengarang, bahasa, wilayah, gaya, genre, dan era.

Setiap penterjemah yang disenarai pendek akan menerima geran sebanyak £500 (RM2,950) untuk menghasilkan terjemahan contoh sepanjang 5,000 patah perkataan bagi projek yang dicadangkan.

Penilai bebas, yang dilantik daripada kumpulan penterjemah sastera berpengalaman English PEN, akan menilai contoh dan karya asal tersebut, sebelum panel pemilihan memilih enam projek sebagai pemenang PEN Presents x International Booker Prize.

Penterjemah pemenang akan menerima sokongan editorial, bekerja dengan English PEN, editor dan penterjemah berpengalaman untuk memperhalusi terjemahan contoh mereka, dengan pemenang akan diumumkan dan terjemahan contoh diterbitkan dan dipromosikan kepada penerbit UK pada musim panas 2025.

Kredit Foto: Inaki del Olmo/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi