Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penerima SEA Write Award (Malaysia) 2008, YBrs. Dr. Hatta Azad Khan berpandangan bahawa khazanah sastera Malaysia perlu diterjemahkan dalam pelbagai bahasa asing dan ditransformasikan dalam bentuk lain bagi membolehkan karya sastera dinikmati oleh lebih ramai orang,
Dr. Hatta berkata, hal itu akan memperkaya sastera, malah perlu dibuat dengan pendekatan yang melangkaui kebiasaan.
“Memperkaya sastera Malaysia perlu melangkaui genre.
“Kalau kita ingat semula, ada sebuah puisi Sasterawan Negara Usman Awang, ‘Gadis di Kuburan’ yang pernah dijadikan muzikal Uda dan Dara.
“Sebuah novel (atau) puisi boleh dijadikan drama, dipentaskan dan diadaptasi sebagai filem. Tapi di sini, hal begitu agak kurang,” katanya ketika tampil sebagai tamu Wacana Khazanah Sastera Malaysia: Memperkaya Khazanah Sastera menerusi Kepelbagaian Budaya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur petang semalam.
Forum yang dimudah cara oleh Presiden PENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad turut menampilkan penerima SEA Write Award 2019, YBrs. Dr. Shamsudin Othman dan SEA Write 2020, YBrs. Puan Aminah Mokhtar.
Hatta Azad Khan berkata, dalam konteks filem pula, ada sebuah karya Iran bertajuk Children of Heaven yang dibeli hak ciptanya oleh negara lain dan dialih bahasa.
Hal ini katanya membuka ruang kepada audiens yang baharu sekali gus memperluas pasaran karya tempatan.
Oleh itu, Hatta berkata, isu penterjemahan karya seharusnya ditangani oleh satu pihak yang berkaitan dengannya. Organisasi seperti DBP katanya, mungkin boleh melihat kembali keperluan Unit Terjemahan.
“Edarkan karya terjemahan di luar negara. Organisasi penulis dan penerbit harus mencari jalan untuk terjemahkan karya mereka dalam bahasa lain, seperti bahasa Inggeris, Mandarin dan sebagainya,” katanya.