Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLondon – Pengarang Britain-Hungary, David Szalay, 51, diumumkan sebagai pemenang Booker Prize 2025 menerusi novelnya, Flesh, yang mengupas kisah sisi gelap Istvan yang mencari makna hidup, tetapi kehidupannya mula berantakan akibat beberapa peristiwa yang tidak mampu dikawalnya.
Kemenangan itu menyaksikan Szalay menewaskan lima calon lain, termasuk pengarang yang disebut-sebut bakal menang, Kiran Desai dari India dan pengarang Britain, Andrew Miller. Kemenangan itu juga membolehkan Szalay menerima bernilai £50,000 (RM390,000).
Szalay, yang pernah dicalonkan pada tahun 2016 melalui All That Man Is, sekali lagi menonjol dengan karya keenamnya yang menggabungkan naratif ringkas namun berkesan. Malah, kemenangan itu dipilih berdasarkan 130 naskhah fiksyen bahasa Inggeris yang diterbitkan di United Kingdom dan Ireland di antara Oktober 2024 hingga September 2025.
Terdahulu, dalam temu bual dengan Sekretariat Booker Prize, Szalay menjelaskan bahawa beliau mahu menghasilkan novel yang mencerminkan perjalanan di antara Hungary dan England, selain menelusuri jurang budaya dan ekonomi yang wujud di Eropah masa kini.
“Kadang-kadang, sukar untuk menentukan titik mula bagi sesebuah novel. Flesh boleh dikatakan berkembang secara semula jadi, seolah-olah membentuk dirinya sendiri.
“Saya hanya tahu bahawa saya mahu menulis sebuah cerita yang bermula di Hungary dan berakhir di England, kerana pada waktu itu, saya banyak berulang-alik di antara dua negara tersebut dan merasakan keadaan itu perlu tercermin dalam karya saya.
“Dengan latar itu, menulis tentang seorang pendatang Hungary ketika negara itu baru menyertai Kesatuan Eropah terasa seperti pilihan yang wajar. Maka, novel ini sebahagiannya menjadi kisah tentang Eropah moden, tentang jurang budaya dan ekonomi yang membentuknya,” katanya.
Dilahirkan di Montreal, Kanada, Szalay membesar di London dan kini menetap di Vienna. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan enam buah novel sepanjang kerjaya penulisannya.