Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pengarang British, Samantha Harvey, 49, dinamakan sebagai pemenang Hadiah Booker menerusi novel pendeknya, Orbital dalam acara yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook The Booker Prize, pagi tadi.
Harvey yang kelihatan terkejut dan teruja dengan kemenangan itu, menerima wang tunai bernilai 50 000 pound. Malah ketika ditemui media, Harvey berkata, kemenangan itu di luar jangkaan. Justeru, dalam ucapan penerimaannya, Harvey mendedikasikan anugerah itu kepada setiap orang yang bersuara untuk bumi dan menyeru kepada kedamaian.
Orbital ialah novel setebal 136 halaman yang diterbitkan pada tahun 2023. Novel ini sangat menarik dengan latar masa 24 jam, menyorot watak enam angkasawan dari Jepun, Rusia, Amerika Syarikat, Britain, dan Itali yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa semasa mereka mengorbit di atas Bumi.
Secara ringkas, novel ini memaparkan pandangan dan renungan mereka mengenai kemanusiaan selain pelbagai isu alam sekitar.
Orbital ialah novel kelima Harvey yang memenangi Hadiah Booker selepas kemenangan pertamanya memenangi Hadiah Man Booker 15 tahun lalu menerusi naskhah The Wilderness.
Sementara itu, pengerusi panel hakim Edmund de Waal menyifatkan Orbital sebagai kisah dunia yang terluka. Naskhah itu menjadi terampil apabila dikemaskan lagi dengan bahasa yang puitis dan tajam.
Hadiah Booker dilihat sebagai pemangkin bakat yang mengenal pasti nama penulis yang mungkin tidak dikenali oleh khalayak. Anugerah ini dibuka kepada naskhah fiksyen berbahasa Inggeris yang diterbitkan di United Kingsom atau Ireland di antara 1 Oktober 2023 hingga 30 September 2024.