Diterbitkan pada 30 Julai 2025, 10:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Karya terbaharu Tash Aw, The South, membawa novelis itu dalam Senarai Panjang Hadiah Booker 2025, yang diumumkan malam tadi.

Penyenaraian itu merupakan kali ketiga buat Aw, yang dilahirkan pada tahun 1971 di Taipei, Taiwan oleh pasangan warga Malaysia.

Bagi penganalisis, kejayaan Aw berada dalam senarai panjang itu menjadi penanda aras, suara Asia Tenggara semakin mendapat pengiktirafan di pentas sastera antarabangsa.

The South ialah kisah dua keluarga petani di Malaysia pada era 1990-an, dalam suasana yang penuh gejolak sosial dan perubahan cuaca yang semakin membimbangkan.

Selain Aw, panel hakim kali ini yang turut disertai oleh bintang Sex and the City, Sarah Jessica Parker, bersama-sama Ayọ̀bámi Adébáyọ̀ dan pengerusi juri Roddy Doyle, turut menyenaraikan penulis India Kiran Desai, yang kembali dengan novel The Loneliness of Sonia and Sunny, selepas hampir dua dekad menyepi sejak kemenangan Bookernya pada tahun 2006 menerusi The Inheritance of Loss.

The Loneliness of Sonia and Sunny, yang ditulis hampir 700 halaman, dianggap sebagai antara karya paling epik dan terunggul dalam senarai kali ini.

Selain Aw dan Desai, pengarang lain yang turut berada dalam senarai panjang termasuklah Claire Adam (Love Forms); Natasha Brown (Universality); Jonathan Buckley (One Boat); Susan Choi (Flashlight); Katie Kitamura (Audition); Ben Markovits (The Rest of Our Lives); Andrew Miller (The Land in Winter); Maria Reva (Endling); David Szalay (Flesh); Benjamin Wood (Seascraper); dan Ledia Xhoga (Misinterpretation).

Pemenang Hadiah Booker akan menerima £50,000 berserta peningkatan ketara dalam jualan buku, seperti kebiasaannya. Setiap penulis yang tersenarai pendek pula akan menerima £2,500 serta edisi khas buku mereka yang akan dijilid secara istimewa.

Senarai pendek Hadiah Booker akan diumumkan pada 23 September, manakala pemenang utama akan diumumkan pada 10 November.

Pemenang akan membawa pulang sekitar £50,000, manakala setiap calon akhir pula akan menerima lebih kurang £2,500.

Kredit Foto: Samantha Hentosh/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi