Diterbitkan pada 21 Mei 2025, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

London – Penulis India, Banu Mushtaq mencipta sejarah apabila kumpulan cerpennya, Heart Lamp, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Deepa Bhasthi, diumumkan sebagai pemenang Hadiah Booker Antarabangsa 2025.

Kemenangan itu adalah yang pertama kali membabitkan kumpulan cerpen.

Banu Mushtaq

Naskhah itu ditulis dalam bahasa Kannada, iaitu salah satu bahasa utama yang dituturkan di India selatan, khususnya di negeri Karnataka.

Diterbitkan oleh penerbit bebas dari Sheffield, And Other Stories, Heart Lamp merupakan karya pertama dalam bahasa Kannada yang memenangi hadiah bernilai £50,000 itu, yang dikongsi antara penulis dengan penterjemah.

Hadiah Booker Antarabangsa ialah pengiktirafan kepada karya fiksyen terjemahan terbaik yang diterbitkan di United Kingdom atau Ireland.

Banu Mushtaq, seorang peguam serta aktivis hak wanita beragama Islam, sudah menghasilkan pelbagai genre penulisan termasuk cerpen, novel, esei, dan puisi.

Kebanyakan cerpen dalam Heart Lamp memberi tumpuan kepada kehidupan harian masyarakat di Karnataka, khususnya wanita dan kanak-kanak.

Naskhah itu yang diterjemahkan oleh Basthi ialah himpunan 12 buah cerpen yang diterbitkan di antara tahun 1990 hingga 2023.

Juri ketika menghakimi naskhah itu berkata, terjemahan karya Mushtaq dianggap “radikal”, malah memperkenalkan “tekstur baharu dalam pelbagai bentuk bahasa Inggeris”.

Mushtaq sebelum ini dalam laman web Words Without Borders pada 29 April lalu berkata, ketika beliau mula menulis pada tahun 1970-an, sastera Kannada menggambarkan watak Muslim sama ada sebagai sangat mulia atau sangat jahat.

“Watak-watak hitam putih seperti itu tidak mencerminkan realiti dalam komuniti Muslim.

“Saya ingin mengisi kekosongan itu. Saya ingin menunjukkan, melalui penulisan saya, bahawa orang Muslim sama seperti ahli mana-mana komuniti lain. Mereka memiliki sisi baik dan juga buruk,” katanya.

Kredit Foto: The Booker Prizes
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi