Diterbitkan pada 14 Mac 2025, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Abdullah Hussaini menulis tentang dua penulis muda dan dua kumpulan cerpen baharu mereka, seperti sebuah laporan siasatan seorang mata-mata.

Mereka saling tidak mengenali tetapi saya kenal mereka dan telah mendapatkan kedua-dua buah buku itu untuk menikmati cerita dan mengetahui gaya penulisan masing-masing.

Hari terakhir tahun 2024, sekitar jam empat petang, di tepi Kona Mokapot Coffee, Universiti Malaya, kelihatan dua orang lelaki Melayu. Masing-masing berusia pertengahan 30-an, mereka duduk dalam jarak satu atau dua ela, ralit mendengar bicara Faisal Tehrani. Sesekali mereka beralih pandang, bercakap kepada rakan di sebelah. Seorang bernama Ani Aziz yang menggunakan nama pena Beduk Logam dan seorang lagi Airul Affendi Ali. Ketinggian mereka lebih kurang sama, berkulit hitam manis dan berasal dari Pantai Timur. Beduk mengenakan seluar jean dan jaket denim 2001: A Space Odyssey, sedangkan Airul menyarung baju-T Puisi Secawan Kopi bersama-sama seluar khaki. Petang itu, kedua-duanya akan berbicara tentang kumpulan cerpen sulung mereka, Humoria oleh Beduk dan Bingit Kota Raya di dalam Tubuh Pemuda oleh Airul. Mereka saling tidak mengenali tetapi saya kenal mereka dan telah mendapatkan kedua-dua buah buku itu untuk menikmati cerita dan mengetahui gaya penulisan masing-masing.

Beduk telah beberapa tahun menulis cerpen. Kebanyakannya tersiar secara eceran. Airul masih baharu, sekitar dua, tiga tahun kebelakangan. Beduk bersahabat baik dengan seorang sasterawan Pasir Puteh, yakni Azman Hussin, bahkan dia sendiri mengagumi karya-karya sasterawan berambut panjang itu. Airul pula antara susuk penggerak Kultus Kata, giat menulis dan banyak karyanya tersiar dalam media sosial, majalah serta akhbar.

Humoria mengandungi 18 buah cerpen yang pendek-pendek dan Bingit Kota Raya di dalam Tubuh Pemuda mengandungi 14 buah cerpen. Kedua-dua buku ini tipis dan terbit pada hujung tahun 2024. Disebabkan cerpen-cerpen yang terkandung dalam dua naskhah ini pendek belaka, justeru saya berhasil menghabiskannya dalam tempoh sehari. Akan tetapi, gaya penulisan dan cerita yang ditimbulkan mereka sama sekali tidak serupa.

Beduk lebih banyak menggunakan sudut pandang pertama akuIsaya, dan menjadikan kita berasa lebih dekat dengan ceritanya. Cerpen pertamanya yang berkisah perihal minum petang bersama-sama neneknya ketika hujan seakan-akan memberi gambaran pada gaya keseluruhan penulisan cerpen dalam bukunya. Dalam cerpen ini, Beduk mengangkat tema keperempuanan mengikut kaca matanya, melalui pengakuan kecenderungannya yang lebih suka mendengar cik-cok daripada perempuan. Baginya, sifat umum perempuan yang lebih suka bercerita jauh memikat ketimbang sifat lelaki yang menurut cerpen ini, “lebih realistik, serius dan tegang. Mereka lebih suka bercerita tentang kerja, berjudi, perempuan dan politik.”

Dalam cerpen kedua, kita akan merasakan Beduk sinis terhadap feminisme. Narator cerpen tersebut yang trauma dengan lelaki sejak kecil, digambarkan mendewasa dengan hanya satu tujuan—menempelak dan menumpaskan lelaki. Cerita berkembang apabila dia menemui seorang lelaki dan entah bagaimana, berakhir di atas ranjang. Penamatnya ironi, dan apabila kita teliti semula cara Beduk menggambarkan sikap atau pendekatan watak utama cerpen ini, kita akan dapati dia bukan mengecam feminisme bulat-bulat tetapi perangai seorang aktivis – berlatar trauma tetapi dengan tekad serta sikap gelojoh tanpa peduli – yang mengingatkan kita kepada gejala woke atau SJW.

Cerpen-cerpen Airul pula lebih deskriptif, lantas menjadikan pembaca bagaikan pemerhati. Ayat-ayatnya lebih bersifat memberitahu dan langsung. Dia banyak mengangkat kritikan sosial dan isu semasa, jelas sekali pada tajuk cerpen pertamanya, yang mengisahkan perihal lelaki yang ralit mengejar ibadah tetapi melupakan tanggungjawab keluarga. Bagi saya, cerpen ini mudah difahami, sebuah kritikan sosial tanpa ada mesej lapik atau lapisan makna. Hal ini tergambar jelas pada ciri fizikal watak utama yang bergigi kekuningan dan berbau cengkih, bahkan diselitkan terkaan, “Kesan daripada rokok mungkin.” Meskipun dalam sesi bual bicara Airul memberitahu bahawa dia senang menulis menurut pendekatan realisme magis, namun kita akan dapati bahawa kebanyakan cerpennya tidak sukar dihadam. Segala perlambangannya terlihat munasabah kerana citra ceritanya tidak bercampur aduk.

Sedangkan bagi Beduk, banyak cerpennya bersifat bawah sedar dengan suntikan eksistensialisme. Hal ini diakuinya yang beranggapan hal ini mungkin pantulan kehidupannya sendiri. Hampir dalam kebanyakan cerpen, ditimbulkan persoalan-persoalan yang filosofikal. Barangkali, selain kehidupan peribadi, karya-karya sasterawan Rusia serta buku falsafah yang sering ditelaahnya meninggalkan kesan pada kompas ideanya. Beduk yang juga merupakan seorang pelakon teater, cinephile dan jurugambar amatur, mengheret masuk sisi teknikal daripada disiplin-disiplin tersebut ke dalam cerpennya, seperti diungkapkan dalam biografi singkatnya, “Idea pemikiran banyak dipengaruhi sosial realisme dan humor Charlie Chaplin.”

Dua buah kumpulan cerpen oleh dua orang cerpenis yang tidak serupa …

Dari sudut kemahiran berbahasa, Beduk nampaknya lebih kaya kosa kata. Ayat-ayatnya tidak begitu lazim, dan sesekali kita akan mengesan bekas-bekas karya pengarang luar dalam aturan ayatnya. Penulisan Airul lebih bersifat langsung dan sesekali tampil anasir puisi, seperti personifikasi. Airul juga banyak memasukkan istilah-istilah daripada bidang yang digelutinya, iaitu alam sekitar ke dalam beberapa cerpennya yang mengangkat isu pencemaran. Namun begitu, ketempangan dari sudut tatabahasa dalam Bingit Kota Raya di dalam Tubuh Pemuda agak minimum. Hal ini bukanlah soal utama untuk saya dan bagi ramai pembaca, tetapi sengaja saya nyatakan di sini, terdapat sejumlah kesilapan tatabahasa dalam Humoria, seperti penggunaan ‘dari’ dan ‘daripada’, ketidakseragaman kata (dalam satu cerpen, terdapat penggunaan ‘pelikat’ tetapi dalam perenggan berikutnya, ‘pelekat’) serta kesalahan ejaan. Saya terkenang sebuah esei tulisan Ridhwan Saidi yang menulis, “Kalau typo yang dicari typo lah yang ditemui.” Cuma dalam kedua-dua buku ini, typo yang mencari saya.

Saya kembali kepada dua cerpen yang menjadi tajuk buku masing-masing. Cerpen “Humoria” mengisahkan seorang pemuda bernama Rashid yang hidupnya menyedihkan. Dia seorang yang jauh daripada mencapai jangkaan keluarga dari segenap sudut. Dalam perenggan awal telah diperihalkan, “Rashid adalah humoris. Dia melihat segala-galanya sebagai jenaka. Politik adalah komedi. Seksualiti baginya lelucon. Pekerjaan adalah sarkasme. Kehidupan cuma parodi.” Kehidupannya yang berakhir tragis membuatkan kita serba salah, sama ada hendak kasihan atau tidak berasa apa-apa terhadapnya. Sementara itu, cerpen “Bingit Kota Raya di dalam Tubuh Pemuda” mengajukan tema yang sering kita dengar berkenaan kota. Kota yang pada mulanya menjanjikan tetapi kemudiannya hanya palsu, digambarkan dalam bentuk gangguan kebisingan nyamuk dalam tubuh seorang pemuda bernama Faisha yang tinggal di dalam sebuah rumah yang sempit. Dia berulang kali cuba menghapuskannya menggunakan semburan penghalau nyamuk tetapi gagal sehinggalah kehidupannya juga berakhir tragis. Dengan menyelitkan kenangan hidup masa kecil bersama ayah di kampung serta hidup di kota yang penuh tipu daya, Airul sebenarnya menulis isu tipikal tetapi melindunginya dengan simbol-simbol untuk menguranginya.

Lewat dua cerpen ini, saya menganggap Beduk merenung ke dalam untuk menulis, Airul pula melihat keluar untuk bercerita. Dua buah kumpulan cerpen oleh dua orang cerpenis yang tidak serupa, tidak salah kalau anda pilih salah satu daripadanya sebagai bacaan pembuka tahun 2025.

Beli kumpulan cerpen Humoria dan Bingit Kota Raya di dalam Tubuh Pemuda.

_________________________

Abdullah Hussaini menulis novel, sajak, cerpen, esei, dan menterjemah. Karyanya pernah memenangi Sayembara Penulisan DPMP 2017, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2017, Hadiah Sastera Selangor 2019, Hadiah Sastera Darul Makmur Kedua, selain dianugerahi Anugerah Tokoh Penulis Muda Berbakat 2024. Antara karyanya termasuk kumpulan puisi Daftar Mimpi (2021), novel Menculik Sensasi (2016) dan Pakma Kembang di Bilik (2024).

Kredit Foto: Europena/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi