Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Antologi cerpen Lelaki Kedai Kopi secara keseluruhannya menyaksikan gaya penulisan cerpen konvensional, selain banyak menggunakan ungkapan yang disifatkan telah lapuk.
Penyair dan pengkritik, YBrs. Sdr. Salman Sulaiman berkata, walaupun dari sudut kreativiti ideanya bagus, namun dilihat kurang mantap apabila pengolahan karya kebanyakannya masih menggunakan frasa klise.
“Antara kelemahan karya itu ialah masih banyak menggunakan frasa klise. Frasa-frasa sedemikian (klise) perlu dielak bagi menghasilkan cerpen yang lebih mantap.
“Pembaca memang suka cerpen konvensional. Tetapi mereka inginkan sebuah karya yang sampai dan dapat dirasai sepenuhnya sebagai sebuah cerpen yang betul-betul menyelami realiti masyarakat hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Pelancaran dan Bicara Buku Antologi Cerpen Lelaki Kedai Kopi yang diadakan di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), pada 31 Mei baru-baru ini.
Selain Salman, dua ahli panel lain yang terlibat dalam Bicara Buku tersebut termasuklah Pengerusi Kelab Kembara Sastera, YBrs. Sdr. Mukhtar Mustafa dan Pensyarah Kanan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, YBrs. Dr. Mohd Firdaus Che Yaacob.
Program Bicara Buku dikendalikan oleh Pengerusi Liga Penulis Kelantan, YBrs, Encik Mohd. Dahari Zakaria, manakala majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Pengarah DBPWT, YBrs. Encik Muhammad Ikhram Fadhly Hussin.
Antologi cerpen Lelaki Kedai Kopi terbitan DBP itu mengandungi 21 buah cerpen dengan kepelbagaian tema yang melibatkan penulis seramai 13 orang.
Sementara itu, Mukhtar memberitahu, pascapenerbitan antologi tersebut mengambil masa hampir tiga tahun sebelum berjaya diterbitkan pada tahun ini.
“Ia bermula dengan bengkel perolehan dan pemurnian manuskrip cerpen pada bulan Julai 2022. Bengkel tersebut dibimbing oleh Editor Bahagian Buku Sastera, Puan Zaharahanum Kamarudin.
“Proses penambahbaikan dan pembetulan terhadap manuskrip yang diterima bermula dari situ sebelum diterima atau dipilih untuk dimuatkan dalam antologi ini (Lelaki Kedai Kopi),” katanya.
