Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 19:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Keadilan bukanlah satu konsep yang bersifat mutlak atau tunggal, sebaliknya sentiasa berkembang dan berlapis-lapis, bergantung pada nilai dan konteks.

Hal ini menjadi pokok perbincangan dalam sesi kedua Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari yang menampilkan pengarang YBrs. Puan Hajah Nisah Haron menerusi pembentangan bertajuk “Tersimpan Begitu Lama: Keadilan yang Dijungkarbalikkan”.

Dalam pembentangannya, Nisah membedah kumpulan cerpen Tersimpan Begitu Lama sebagai ruang wacana pelbagai bentuk keadilan.

Menurut beliau, kumpulan cerpen ini membuka dimensi baharu terhadap konsep keadilan, yang tidak hanya tertumpu pada pemisahan mutlak antara benar dengan salah, tetapi turut menyentuh kawasan kelabu yang sering kali terabai dalam tafsiran undang-undang dan norma masyarakat. 

“Cerpen-cerpen dalam kumpulan ini menjadi medan penceritaan yang menyentuh aspek keadilan dari segi undang-undang, moral, sosial, puitik, serta retributif dan restoratif,” ujar beliau.

Cerpen seperti “Kotak” memperlihatkan bagaimana relativisme moral dan epistemik menjadi cabaran utama dalam menentukan perkara yang benar. 

“Jalan Untuk Zetty” menyingkap konflik dalaman yang terpaksa memilih antara nilai peribadi dengan keadilan moral. 

“Dedak” pula mengetengahkan ketidakseimbangan kuasa, penyelewengan sosial dan menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu. 

Dalam “Batu”, keadilan puitik diperlihatkan dengan tuntas apabila penipuan seorang penjual batu hikmat akhirnya menerima pembalasan setimpal, dan kebenaran ditegakkan dengan cara yang puitis. 

Sementara itu, “Ibu Tidak Gelisah Lagi” menghadirkan naratif keadilan yang lebih pragmatik dengan persoalan hasil yang dicapai berbanding niat yang tersembunyi.

Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari.

Menurut Nisah, keadilan dalam kumpulan cerpen ini tidak hanya berlegar di ruang naratif, tetapi berakar daripada pelbagai falsafah termasuklah keadilan berdasarkan undang-undang yang terikat dengan sistem formal, termasuk kontrak dan autoriti, keadilan moral yang lahir daripada konflik batin, kompas etika individu, keadilan sosial yang menuntut akses dan peluang yang adil kepada semua lapisan masyarakat, keadilan retributif yang menjatuhkan hukuman setimpal, serta keadilan restoratif yang memulihkan kesan kepada mangsa dan memberikan peluang kedua kepada pelaku. 

Keadilan puitik turut disorot sebagai bentuk idealistik yang lazim dalam kesusasteraan, apabila kebaikan diangkat dan keburukan dihukum, seiring dengan kehendak emosi dan nilai pembaca.

Menurut beliau, cerpen seperti “Hutang”, “Batu”, “Dua Pemandu”, dan “Kontraktor Berdua” memperlihatkan keadilan undang-undang secara jelas, manakala cerpen seperti “Teori”, “Ke Jalan Tenang”, “Pulang”, “Tersimpan Begitu Lama”, dan “Jalan Untuk Zetty” merakamkan konflik moral yang mencabar sempadan nilai dan tanggungjawab. 

Dalam cerpen “Dedak”, “Pulang” dan “Ke Jalan Tenang”, pembaca dibawa menelusuri perjuangan golongan tertindas dalam menuntut hak dan keadilan sosial. Sementara itu, pengakhiran cerita dalam cerpen seperti “Batu” menepati konsep keadilan puitik apabila watak menerima balasan yang sesuai dengan perbuatan mereka.

Nisah menjelaskan bahawa keadilan tidak terhad kepada ruang mahkamah atau sistem perundangan sahaja.

“Keadilan di sini juga merangkumi prinsip moral untuk menilai betul dan salah, serta menjamin kesamarataan, ketelusan dan hak.

“Keadilan juga telah didebat luas merentas zaman dan peradaban,” katanya. 

Sastera, menurut beliau, memberikan ruang yang lebih bebas dan mendalam untuk meneliti dan menyelongkar wajah-wajah keadilan yang sering tersembunyi di sebalik sistem formal atau persepsi masyarakat.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi